Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jabatan Muzium batal program artis LGBT Thailand
Diterbitkan:  Oct 15, 2018 3:36 PM
Dikemaskini: 7:47 AM

Jabatan Muzium Malaysia (JMM) membatalkan penganjuran sesi bertemu peminat, Thailand Fans: Together in Kuala Lumpur yang sepatutnya dijadual berlangsung di auditorium Muzium Negara, pada Sabtu ini.

Menurut JMM, penganjur tidak memaklumkan acara itu akan turut disertai oleh dua selebriti kontroversi yang dikaitkan sebagai ikon Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di Thailand.

“Dalam surat permohonan itu tidak dinyatakan nama artis Thailand yang akan terlibat,” kata kenyataan yang dikeluarkan JMM hari ini.

JMM menegaskan pihaknya tidak sesekali akan berkompromi dalam isu-isu yang melanggar nilai dan norma masyarakat Malaysia.

Jelas JMM, penganjuran program terbabit hanya diketahui selepas poster aktiviti itu yang bertajuk Kissing Krist dan Singto menjadi tular di media sosial.

JMM juga memaklumlan sudah menghubungi penganjur bagi mendapatkan pengesahan mengenai pembabitan dua artis berkenaan dan keputusan pembatalan program itu muktamad meskipun ia dikatakan bagi tujuan amal.

“Semalam, JMM mengeluarkan penafian mengenai penganjuran program itu berikutan permohonan awal daripada penganjur pada 31 Mei lalu bagi mengadakan sesi bertemu peminat artis Thailand, iaitu Thailand Fans: Together in Kuala Lumpur dan bukan penganjuran Kissing Krist & Singto.

“JMM hanya mengetahui mengenai mengenai program membabitkan dua artis ikon LGBT itu selepas poster mengenainya tular di media sosial selain kehadiran mereka (Krist dan Singto) disahkan oleh penganjur,” kata kenyataan itu seperti dipetik BH Online.

Sejak membuat kemunculan di kaca televisyen pada 2016, peminat buat pertama kalinya dijangka menemui pelakon utama Sotus: The Series, drama Thailand yang membawa tema hubungan sejenis dengan lelaki.

Poster promosi program itu yang memaparkan kedua-dua watak lelaki utama dijayakan Prachaya Ruangroj atau Singto dan Perawat Sangpotirat atau Krist dikongsi di Instagram @mahersenisdnbhd.

Poster berkenaan memaparkan peminat dikenakan bayaran masuk sebanyak RM700 dan RM500.

Menurut JMM, syarikat terbabit memaklumkan program bertujuan memperkenalkan Malaysia kepada peminat-peminat artis Thailand yang hadir dari negara-negara Asia.

Antara aktiviti dijadual dijalankan sepanjang program adalah sesi temu bual antara artis Thailand dan peminat, sesi foto berkumpulan, mini konsert dan Fun Games di atas pentas selain tayangan video Malaysia Truly Asia termasuk tandangan poster, photobook, majalah dan foto.

Lihat Komen
ADS