Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
CEO bukan dipecat – ITBM
Diterbitkan:  Oct 17, 2018 11:39 PM
Dikemaskini: Oct 18, 2018 3:32 AM

Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menjelaskan pengarah urusan merangkap ketua pegawai eksekutifnya Mohd Khair Ngadiron bukan dipecat.

Sebaliknya, kata agensi Kementerian Kewangan itu, jawatan Khair merupakan “lantikan secara kontrak berdasarkan pada tempoh yang khusus”.

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini malam ini, ITBM berkata Khair telah dilantik secara kontrak ke jawatannya bermula 15 November 2007 dan telah diberikan pelanjutan kontrak beberapa kali sebelum berakhir pada 14 Oktober lalu.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai reaksi kepada laporan Malaysiakini petang ini yang bertajuk “Kementerian digesa pertimbang semula 'pemecatan' bos ITBM”.

Laporan itu antaranya menyebut gesaan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) supaya Kementerian Kewangan mempertimbangkan semula keputusan tidak menyambung kontrak Khair.

PENA berkata Khair sentiasa dikenang sebagai individu bertanggungjawab memperkenalkan sastera Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, ITBM juga berkata lebih 10 tahun menerajui ITBM, Khair banyak melakukan perubahan dan hasil berimpak tinggi telah dilaksanakan, khususnya dalam bidang penterjemahan dan penerbitan buku sehingga ke peringkat antarabangsa.

Agensi itu juga berkata mereka memahami “kegelisahan” penterjemah dan penulis terhadap perkembangan itu.

“ITBM berharap kumpulan penterjemah dan penulis bertenang dan mengambil sikap positif terhadap keputusan Kerajaan ini serta terus memberikan sokongan terhadap usaha ITBM membangunkan bidang penterjemahan dan penerbitan buku.

“ITBM percaya bahawa Kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan mempunyai perancangan yang lebih besar untuk Encik Mohd Khair pada masa hadapan dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” kata ITBM.

Lihat Komen
ADS