Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shuhada nama baru Sinead O'Connor
Diterbitkan:  Oct 26, 2018 9:20 AM
Dikemaskini: 3:04 AM

Penyanyi yang pernah mempopularkan lagu Nothing Compares 2 U sekitar tahun 1990-an, Sinead O’Connor mengumumkan sudah memeluk agama Islam.

Wanita kelahiran Ireland itu mula berkongsi kisah dia keluar daripada agama Kristian di akaun Twitter sejak 19 Oktober lalu tetapi baru dilaporkan media hari ini.

"Ini untuk mengisytiharkan saya bangga menjadi seorang Muslim. Ia adalah keputusan semulajadi bagi seseorang yang mengkaji ilmu ketuhanan.

“Semua kitab suci menjurus ke arah Islam, ini menjadikan semua kitab suci lain tidak lagi diperlukan,” katanya seperti dipetik NME.

Sinead, 50, meraih populariti sekitar 1980-an melalui album pertama The Lion and The Cobra.

Dia kemudian mulai dikenali di seluruh dunia selepas membawa nafas baru dalam lagu hasil nukilan komposer dan penyanyi Prince, Nothing Compares 2 U pada 1990.

Pada ciapan sama yang dibuat ketika itu, pemilik nama asal Sinéad Marie Bernadette O'Connor juga memberitahu dia kini ingin dikenali dengan nama baru, iaitu Shuhada.

“Saya akan diberi nama baru. Ia adalah Shuhada,” ciapnya.

Bintang itu juga turut menukar nama di akaun Twitter miliknya kepada Shuhada’ Davitt dan menggunakan ID @MagdaDavitt77.

Untuk rekod, pada 2017, Sinead pernah mengumumkan bahawa dia telah mengubah namanya secara rasmi kepada Magda Davitt.

Sinead yang membawa lagu-lagu bergenre alternative rock, pop rock dan folk rock itu kemudian berkongsi sebuah rakaman klip video melaungkan azan.

“Ini adalah cubaan pertama saya untuk membunyikan azan. Terdapat beberapa sebutan salah kerana sedang diselubungi emosi, tetapi akan ada banyak lagi perkembangan,” katanya.

Pada 20 Oktober lalu, Sinead turut berkongsi berita pertama kali dia diberikan hijab oleh seorang rakan baiknya, Elaine.

“Dia (Elaine) menggigil apabila saya mengenakan hijab. Saya tidak akan berkongsi foto kerana saat itu amat peribadi. Saya sudah berusia, tetapi seorang tua yang amat gembira,” ciapnya.

Sinead dijangka kembali membuat persembahan awal tahun ini selepas berjuang melawan penyakit mental.

Bagaimanapun, dia menangguhkan jadualnya itu atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Lihat Komen
ADS