Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bront bikin saspens lepas mengaku bertopeng 14 jam sehari

Tidak mudah untuk Bront Palarae menjayakan sesebuah karya bercorak adiwira, apatah lagi apabila ia memerlukannya meluangkan masa lebih sejam hanya untuk disolek.

Itu pengalaman yang dilalui Bront semasa menjalani penggambaran filem terbaru lakonannya, Gundala.

Gundala ialah kerjasama ketiga Bront dengan pengarah Indonesia, Joko Anwar selepas Pengabdi Setan dan siri TV HBO, Halfworlds.

Bagaimanapun Bront enggan menjelaskan lebih lanjut mengenai projek terbarunya itu dan meminta orang ramai menunggu sehingga waktu yang sesuai untuk lebih banyak maklumat mengenai Gundala didedahkan.

Justeru Bront hanya mahu bercerita mengenai pengalaman dirinya di tangan jurusolek serta sedikit tentang Gundala.

“Hampir semua babak sangat sukar terutama yang membabitkan mekap prostetik kerana perlu ambil masa hingga dua jam untuk disolek,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurutnya, mekap prostetik itu perlu dipakai untuk tempoh yang lama iaitu antara lapan hingga 14 jam setiap hari.

Seminggu lagi nak habis

Watak Gundala 'dihidupkan' daripada komik popular Indonesia, Gundala Putra Petir, hasil ciptaan Harya Suryaminata atau lebih dikenali sebagai Hasmi.

Karya berkisahkan kepahlawanan - yang diterbitkan sebanyak 23 naskhah - itu popular dan dekat di hati penggemar komik Indonesia sejak diterbitkan dari 1969 hingga 1982.

Watak Gundala berlawan dan mengalahkan musuh dengan kuasa diperoleh daripada sumber petir. Ia suatu watak yang digambarkan memakai pakaian ungu dihiasi sayap pada bahagian kedua-dua telinga. 

Antara pelakon yang menjayakan Gundala

Semalam Joko hanya mendedahkan empat nama pelakon yang membarisi Gundala termasuk Bront.

Pelakon Indonesia, Abimana Aryasatya pula diberi kepercayaan untuk menggalas watak sebagai Sancaka atau Gundala.

Kata Bront belum tiba waktunya untuk dia berkongsi lebih lanjut maklumat terperinci filem Gundala berkenaan.

Gundala adalah naskhah paling ditunggu-tunggu di Indonesia, justeru, semua maklumat perlu diawasi. Ia masih berada dalam embargo media,” katanya.


Baca Pengarah Indonesia beri amaran: Bront mungkin 'dicuri'


Namun peminat dijanga tidak perlu menunggu lebih lama kerana Gundala dipersiapkan untuk ditayangkan di pawagam beberapa bulan saja lagi.

“Penggambaran dijalankan sejak September, sekarang hanya tinggal kurang dari seminggu untuk dihabiskan.

“Insya-Allah, Gundala bakal menjengah pawagam Jun atau Julai tahun depan,” katanya

Lihat Komen
ADS