Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nasir pernah pasrah serah isu upah rendah ke akhirat

Di sebalik nama yang besar dan pernah memenangi anugerah, Nasir Bilal Khan mendedahkan dia juga pernah menerima tawaran tidak masuk akal daripada produksi.

Malah katanya upah yang ditawarkan itu lebih rendah daripada sepatutnya, malah setanding dengan bayaran untuk pelakon tambahan.

Namun katanya dia tidak begitu cerewet dan bersedia berlakon dengan upah yang rendah jika dirasakan ia membawa faedah kepada orang ramai.

“Memang ada produksi ambil kesempatan dengan bayar rendah daripada RM1,500 iaitu setaraf pelakon tambahan.

“Saya tak fikir buat kerja tu semata-mata nak duit, tapi kerana Allah dan masyarakat.

“Selagi bersesuaian dengan matlamat, insya-Allah saya sokong,” katanya.

Nasir ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Operasi X di Mutiara Damansara, Petaling Jaya kelmarin.

Filem arahan Sandosh Kevin itu dijadual menjengah pawagam 1 November ini.

Masalah buat pelakon lain

Nasir berkata, dia sedikit pun tidak teragak-agak menerima bayaran itu walaupun menyedari ia tidak bersesuaian dengan kedudukannya sebagai pelakon senior.

Menurut pelakon utama drama bersiri Tanah Kubur itu, dia tidak mahu kelak berdepan kesukaran di akhirat hanya kerana terlampau berkira dengan kadar upah yang diterima.

Pada masa sama beliau menyerahkan isu bayaran tidak berpatutan kepadanya itu kepada mahkamah akhirat.

“Saya tak mahu nanti di akhirat ditanya dan susah nak jawab.

“Tapi yang bayar rendah tu, biarlah mereka pula yang menjawab di akhirat nanti,” katanya.

Sebelum ini pelakon dan pelawak Jalil Hamid pernah meluahkan kekecewaannya selepas ditawarkan RM1,500 oleh sebuah produksi untuk muncul sebagai watak utama.

Bagaimanapun, Nasir mengakui niat baiknya itu sebenarnya memberi kesan kepada pelakon lain.

Katanya hal itu hanya disedari selepas dia didatangi rakan pelakon lain.

“Dia kata, berapa pula kadar bayaran yang akan diberi kepadanya yang tak pernah menang sebarang anugerah jika saya letak harga rendah.

“Masa tu baru saya tahu niat dah betul kadang-kadang boleh mendatangkan masalah kepada pelakon lain,” katanya.

Namun katanya kejadian itu hanya berlaku suatu ketika dulu.

“Sekarang saya lebih selesa menolak dengan baik jika bayaran yang ditawarkan sangat tidak wajar," katanya.

Menurut pelakon yang turut membintangi filem seperti Amok dan Munafik 2 itu dia tidak berniat untuk meletakkan dirinya begitu tinggi atau sombong kerana mula menetapkan harga.

Sebaliknya kata Nasir dia ada prinsip yang dipegang.

“Sekali saya dah tolak, saya akan tetap tolak kalau produksi tu nak bayar berlipat kali ganda sekali pun," katanya.

Lihat Komen
ADS