Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Hanya beberapa hari sebelum usianya mencecah 32 tahun, Johan As’ari berasa dia sudah bersedia untuk bersikap lebih matang dalam bercinta.

Hal itu katanya termasuk menghormati pekerjaan dilakukan seorang wanita yang kini ingin dikenali hati budinya dengan lebih rapat.

Menariknya, wanita itu khabarnya seorang penternak lembu.

“Saya masih dalam proses berkawan dengan dia dan tak malu nak beritahu dia seorang penternak lembu,” katanya yang ditemui pada sidang pratonton filem Tujuh di Mutiara Damansara, Petaling Jaya malam tadi.

Pemilik nama penuh Johan Ariff As'ari itu berkata, antara sebab dia menyukai wanita itu adalah kerana tertarik dengan pekerjaan yang dilakukannya.

“Bukan malu sebaliknya saya anggap menternak lembu ini satu pekerjaan unik,” katanya.

Wanita berkenaan yang sudah dikenali Johan selama enam bulan turut hadir pada majlis yang berlangsung malam tadi.

Bagaimanapun, Johan berkata sebagai menjaga batas pergaulan, wanita tersebut tidak diundang bersendirian.

“Ini bukanlah kali pertama dia hadir atas undangan saya untuk sesebuah majlis pratonton. Dia datang bersama lima lagi rakan lain.

“Saya jemput atas dasar hormat dan dapat menjaga batas saya,” katanya.

Walaupun tidak menggambarkan secara terperinci berhubung wanita yang sedang didekatinya itu, Johan berkata dia lebih selesa untuk membina kepercayaan sebelum melangkah ke fasa seterusnya.

“Sebagai seorang dewasa, perlu ada sikap terbuka dengan orang kita percaya. Apabila sudah mula percaya seseorang, kita akan alami kebahagiaan dan bijak membuat satu-satu keputusan,” katanya.

Sementara itu, Tujuh mengisahkan tujuh penuntut kolej dibunuh satu persatu selepas insiden kematian wanita dari keturunan orang asli iaitu Suri, watak dilakonkan Marsha Milan berlaku tanpa diduga.

Bermula detik itu, Sam (Johan) cuba mencari punca kematian Suri selain berusaha menyelamatkan rakan-rakan yang lain.

Kisah seram yang dijadual menjengah pawagam di seluruh negara pada 8 November ini merupakan karya pertama arahan Raja Mukhriz Raja Ahmed Kamaruddin sebelum Ophilia.

Ia turut dijayakan Faizal Hussein, Riz Amin, Aeril Zafrel, Cristina Suzanne, Pekin Ibrahim, Deede Nash, Siti Saleha dan Wan Hanafi Su.

Lihat Komen
ADS