Hans Isaac mahu tangani isu kroni jika terajui Finas
Sekiranya diberi peluang untuk menerajui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Hans Isaac memasang azam untuk menagani masalah kroni dalam industri filem tanah air.
“Tiada lagi masalah kroni dalaman bagi memastikan kesamarataan kepada semua penggiat yang selama ini bertungkus lumus membangunkan industri kita,” katanya.
Tambah pelakon dan penerbit itu, jika dia dilantik sebagai peneraju Finas, 15 dasar baru akan diperkenalkan bagi menaikkan persada seni tempatan.
“Antara perkara yang saya akan lakukan kalau diberi peluang menjadi pengerusi adalah mewujudkan sistem caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi penggiat industri,” katanya seperti dipetik Kosmo Online.
Pelakon filem Baik Punya Cilok itu berkata demikian sebagai mengulas spekulasi yang bertebaran sebelum ini berhubung namanya yang dikatakan bakal mengisi kekosongan jawatan itu selepas Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meletak jawatan.
Jelas Hans, namanya memang sudah disenarai pendek sebagai calon yang bakal menduduki kerusi penting di Finas.
Bagaimanapun, Hans memberitahu dia masih belum dapat mengesahkan lagi jawatan berkenaan kerana sedang menunggu pengumuman dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).
“Benar saya ada menghadiri beberapa siri temuduga lebih kurang sebulan lalu, tetapi saya belum tahu keputusannya lagi,” katanya.
Menurut Hans, pada pengetahuannya, bukan dia seorang yang telah dipanggil untuk menghadiri sesi temuduga berkenaan.
“Selain saya terdapat beberapa individu lain yang hadir dalam temuduga tersebut.
“Setahu saya, surat lantikan ahli lembaga sudah dikeluarkan cuma menunggu pengumuman dari kementerian,” katanya.

