Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Siti Hasmah gesek biola di malam konsert M Nasir, Jamal

Isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah bakal menyerikan malam Konsert Duo Legenda Datuk M Nasir dan Datuk Jamal Abdillah dengan alunan gesekan biolanya pada 22 Disember depan.

Jamal berkata, wanita yang berusia 92 tahun itu bakal mengiringi sebuah segmen yang menampilkan lagu Gubahanku pada malam VVIP itu nanti.

Menurut Jamal, kehadiran Siti Hasmah bertujuan membantu meraih kutipan dana untuk insan yang lebih memerlukan.

“Kutipan ini akan disalurkan kepada anak yatim dan golongan yang tidak berkemampuan.

“Tiket VVIP akan dijual secara spontan kepada syarikat korporat pada malam itu,” katanya ketika ditemui pada sidang media pengumuman konsert berkenaan yang diadakan di Istana Budaya hari ini.

Turut hadir pada majlis itu M Nasir dan penyanyi yang berasal dari Australia, Cassidy Anderson.

Jamal turut menceritakan detik pertama kali dia menyatakan hasratnya itu kepada Siti Hasmah.

Kata penyanyi Kepadamu Kekasih itu gandingan istimewa berkenaan dilihat amat menggembirakan Siti Hasmah.

“Beliau sangat teruja dengan idea ini. Beliau sampai genggam tangan isteri saya yang berada semasa pertemuan itu diadakan,” katanya.

Harap pihak korporat bantu

Konsert Duo Legenda itu bakal berlangsung selama empat hari bermula 20 hingga 23 Disember.

Bagaimanapun, cuma sehari daripada tarikh itu akan diadakan bagi tujuan mengutip dana.

Konsert yang bakal berlangsung kira-kira dua jam anjuran syarikat Shapadu itu akan berlangsung di Istana Budaya bermula jam 9 malam.

Selaku penerbit konsert Jamal berkata pihaknya tidak meletakkan sasaran dari segi kutipan untuk malam VVIP yang berlangsung satu malam saja.

“Ia terserah kepada Shapadu seberapa banyak undangan akan diedarkan.

"Tetapi saya berharap ramai pihak korporat akan tampil sama untuk membantu mengumpul dana nanti,” katanya.

Lihat Komen
ADS