Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
PFM tak setuju Polis Evo 2 disemak semula
Diterbitkan:  Nov 14, 2018 5:06 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Norman Abdul Halim menganggap hasrat Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahu menyemak semula kandungan filem Polis Evo 2 selepas melepasi proses piawaian sebagai tidak adil bagi penerbit.

Menurutnya tindakan KDN itu mengakibatkan industri perfileman tidak menentu, seterusnya menjejaskan pelaburan jangka panjang pada masa akan datang.

Norman berkata, PFM percaya penerbit Polis Evo 2 iaitu Astro Shaw Sdn Bhd mematuhi semua garis panduan Lembaga Penapis Filem (LPF) dan proses pratonton sudah dijalankan.

“Sekiranya terdapat pertikaian daripada mana-mana pihak yang belum menonton filem secara keseluruhan, tapi membuat andaian tertentu, maka biarlah penonton Malaysia yang bijak menilaikannya sendiri.

“Amat merisaukan penerbit sekiranya perkara sebegini sering berlaku dalam industri perfileman Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Norman, penerbit mengeluarkan modal yang besar serta melakukan promosi selepas produksi mereka mendapat tarikh tayangan.

“Oleh kerana ada pihak yang membuat komen dengan hanya melihat trailer filem, semua proses pengeluaran filem terganggu,” katanya.

Anggap filem sampah

Justeru, menurut Norman bagi mewujudkan industri kandungan kreatif yang lebih kondusif dan mampan diterajui sektor swasta, persepsi negatif serta sekatan-sekatan terhadap industri hiburan tempatan harus dikikis.

Lebih daripada itu katanya ia tidak dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu.

“Saya memohon kerajaan membuat ketetapan yang jelas bahawa filem ini telah mematuhi semua peraturan dan tidak dipertikaikan lagi untuk tayangan pada minggu hadapan,” katanya.

Terdahulu, seorang pemimpin PAS menyarankan orang ramai memboikot Polis Evo 2 atas alasan ia boleh mencemarkan imej Islam.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Riduan Mohd Nor yang membuat dakwaan tersebut turut melabel filem arahan Joeh Soh dan Andrew Chiew itu sebagai karya “sampah” selain ia dihasilkan oleh pengarah yang pada anggapannya “suam-suam kuku.”

Bagaimanapun seperti kebanyakan orang lain Riduan mengaku belum menonton filem tersebut.

Antara pelakon yang terlibat dalam Polis Evo 2 ialah Zizan Razak, Shaheizy Sam, Erra Fazira, Hairul Azreen dan pelakon Indonesia, Raline Shah.

Lihat Komen
ADS