Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Mustahil saya boleh bayar saman RM100k walau hidup 100 tahun'
Diterbitkan:  Nov 15, 2018 3:03 PM
Dikemaskini: 7:03 AM

Individu yang dikehendaki membayar tuntutan saman berjumlah RM100,000 kerana memuat naik dan menyebar filem Munafik 2 meluahkan rasa kesal atas perbuatannya.

Muhammad Izwan Shah Kamal Shah membuat kenyataan itu di Facebook  selepas mahkamah memerintahkannya membayar ganti rugi kepada Skop Productions Sdn Bhd yang nilainya terlalu besar.

“Saya yang bernama Muhammad Izwan Shah ingin memohon maaf kepada pihak Skop Productions terutamanya kepada Datuk Yusof Haslam dan anaknya Syamsul Yusof kerana telah menyusahkan dalam beberapa bulan ini dengan mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan mereka.

“Saya amat menyesal dengan kesalahan yang telah saya lakukan, tindakan mahkamah mengeluarkan perintah supaya membayar RM100,000 sebagai ganti rugi kepada pihak Skop betul-betul membuatkan saya tersentak,” katanya dalam satu kenyataan terbuka di Facebook miliknya.

Menjelaskan lebih lanjut, kata Izwan, nilai RM100,000 sangat besar dan memerlukannya bekerja keras sepanjang hayat bagi membayar ganti rugi tersebut kepada Skop Productions.

“Mustahil untuk mendapatkan jumlah tersebut walau saya dapat hidup 100 tahun sekalipun,” katanya yang turut berjanji untuk melangsaikan jumlah itu walaupun dengan membayar sedikit demi sedikit kepada Skop Productions.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Penerbit Yusof Haslam dan anaknya Syamsul Yusof mengambil tindakan ke atas seorang kakitangan rekaan grafik atas kesalahan melanggar hak cipta filem Munafik 2. 

Pada 13 November lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Taiping, Asmadi Hussin, memerintahkan Izwan yang menggunakan nama profil Sasuke Kun untuk membayar RM100,000 kepada Skop Production.

Bagaimanapun, Izwan tetap menyatakan rasa bersyukur kerana tidak dikenakan hukuman penjara di atas kesalahan yang dilakukannya.

Izwan juga tidak kisah sekiranya tidak sempat mengecapi alam perkahwinan semata-mata perlu bekerja keras sepanjang hayat bagi membayar jumlah terbabit kerana yang penting baginya, dia masih diberi kesempatan untuk berbakti kepada kedua orang tuanya.

“Saya sangat bersyukur kerana tidak dikenakan hukuman penjara.

“Saya tak kisah saya tak ada kereta, tak ada rumah sendiri, walau tak ada jodoh sekurang-kurangnya saya masih berkesempatan untuk menjaga kedua ibu bapa saya yang kian meningkat usia,” katanya.

Izwan berharap nasib yang menimpa dirinya tidak berlaku kepada individu lain malah menggesa mereka yang masih meneruskan aktiviti melanggar hak cipta untuk segera menghentikan perbuatan itu.

“Tolong hentikan kerana negara kita ada undang-undang.

"Jangan anggap benda ni mudah dan ringan kerana saya pun macam tu juga permulaannya tapi tengoklah sekarang, kesan dan implikasi yang sedang saya hadapi,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS