Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Lembaga Penapisan Filem (LPF) mengarahkan semua pawagam menapis filem Tamil dari India, Sarkar, yang didakwa mengandungi adegan sensitif terhadap masyarakat Hindu.

Presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS) Mohan Shan berkata LPF bersetuju untuk menapis adegan tersebut yang menurutnya jelas tidak menghormati kepercayaan agama itu.

"Saya mengadakan perjumpaan dengan dua pegawai LPF hari ini di Putrajaya. 

“Mereka menyatakan rasa kesal selepas terlepas pandang. 

“Mereka turut mengarahkan semua pawagam di Malaysia supaya menapis adegan tersebut berkuat kuasa esok 16 November," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau turut berkongsi surat dari LPF yang diterimanya dengan Malaysiakini. Surat bertarikh hari ini, antaranya mengucapkan terima kasih kepada Mohan Shan keprihatinan beliau terhadap isu-isu penapisan filem negara.

Ia dikeluarkan beberapa jam selepas Malaysiakini menyiarkan laporan berkaitan awal petang tadi.

Terdahulu, beberapa persatuan Hindu, termasuk MHS, Persatuan Hindu Agamam dan Malaysia Hindu Dharmamaamandram mendakwa LPF lembab menangani isu itu.

Sarkar, arahan AR Murugodass menyentuh politik semasa Tamil Nadu, mula ditayangkan di pawagam Malaysia pada 6 November lalu.

Ia turut mengundang kontroversi di India sehingga kerajaan Tamil Nadu memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hindu Agamam, Arun Dorasamy mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana menghormati sensitif penganut Hindu di Malaysia.

Sambil mengharap isu sebegini tidak berulang pada masa akan datang, Arun turut menggesa rakyat Malaysia supaya lantang mengkritik pihak yang suka menyindir kepercayaan agama lain.

Lihat Komen
ADS