Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Johan, Nazejulaiti bincang isi al-Quran sebelum tidur
Diterbitkan:  Nov 16, 2018 4:14 PM
Dikemaskini: 9:48 AM

Tidak seperti sesetengah orang, pelakon Johan As’ari dan wanita yang kini cuba dikenali hati budinya, Nazejulaiti Mahmud tidak mengakhiri perbualan mereka dengan ucapan selamat malam.

Sebaliknya mereka berbincang mengenai terjemahan ayat-ayat al-Quran. Johan dan Nazejulait melakukan perkara itu sejak enam bulan lalu.

Membuka kisah itu, Nazejulaiti berkata, dia tidak pernah menjalin sebarang hubungan romantis dengan mana-mana lelaki lain, tetapi keperibadian Johan menarik minatnya.

“Kami memiliki naskhah al-Quran yang sama lengkap dengan terjemahan. Johan selalu berpesan bahagian mana yang perlu dibaca untuk dibincangkan bersama apabila lapang.

“Saya tidak pernah ada hubungan rapat dengan mana-mana jejaka kerana fokus kepada pelajaran.

“Hubungan unik ini memberi erti yang berbeza buat saya. Kami saling berkongsi ilmu dan saya dapat pelajari perkara baharu yang tidak diketahui selama ini,” katanya seperti dipetik BH Online.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Johan ingin mengenali hati budi Nazejulaiti, yang merupakan usahan lembu.

Malah pelakon yang mula dikenali selepas membintangi drama bersiri Juvana itu juga berkata, dia ingin belajar menghormati pekerjaan Nazejulaiti, 33, yang disifatkannya lain daripada wanita yang pernah dikenalinya sebelum ini.

Menurut Nazejulaiti, walaupun baru mengenali satu sama lain enam bulan, dia melihat terdapat sesuatu yang istimewa sejak berkawan dengan Johan.

“Sejak dia menghadiahkan senaskhah al-Quran pada awal pertemuan, saya sudah rasa ada sesuatu yang istimewa mengenai dirinya,” katanya yang menerima gelaran doktor falsafah dalam bidang ekonomi.

Sementara itu, Johan tidak mahu memberi sasaran mengenai hala tuju hubungannya bersama Nazejulaiti ekoran kegagalan hubungan cinta lalu.

“Sebagai lelaki, semestinya saya ada usaha ke arah itu (berkahwin), tetapi tidak pernah cakap dia adalah jodoh saya.

“Apa yang boleh dilakukan adalah jalani kehidupan macam biasa.

“Sekiranya hubungan ini tak menjadi, kami masih boleh berkawan,” katanya yang turut membawa Nazejulaiti menghadiri majlis pratonton filem Polis Evo 2 pada 14 Nov lalu.

Lihat Komen
ADS