Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Farid kamil Zahari mendakwa dia sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tawaran rasuah kepadanya sebelum ini.

Pelakon itu berkata, dia bertemu pegawai agensi antirasuah terbabit untuk menjelaskan dakwaan mengenai suapan bernilai RM5 juta yang dibuat di hadapan umum semasa diwawancara dalam program TV Al Hijrah.

Menurut Farid, dia kemudian memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya itu selama kira-kira dua jam pada 9 Nov lalu.

“Saya pergi sendiri ke SPRM untuk membuat laporan dan pegawai penyiasat mengambil keterangan secara bertulis mulai jam 5.30 petang hingga 7.30 malam,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pada 8 November lalu, seorang penyokong anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam membuat laporan polis berhubung dakwaan Farid Kamil itu.

Dalam sesi wawancara berkenaan, Farid mendedahkan dia cuba disuap dengan wang berjumlah RM5 juta supaya memaafkan Najib.

Laporan menyebut pelakon yang juga pengarah itu membuat kenyataan palsu ke atas Najib kerana tidak mengadu kepada SPRM terlebih awal, sebaliknya hanya mendedahkan perkara tersebut selepas BN tumbang.

Minggu depan jumpa polis

Bagaimanapun, Farid pula secara sinis berkata, Lokman sepatutnya mengadu kepada SPRM dan bukan polis. 

Pelakon filem Tombiruo: Penunggu Rimba itu juga berkata, dia mempunyai bukti mencukupi bagi mengukuhkan dakwaannya.

Lokman seorang tokoh yang begitu banyak membuat kemunculan sejak akhir-akhir ini terutama bagi menyatakan sokongan penuh kepada bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat, pula berkata pihaknya akan memanggil Farid Kamil bagi mendapatkan keterangannya berhubung isu berkenaan.

Sementara itu, peguam Farid, Megat Syazlee Mokhtarom berkata, pihaknya akan membawa laporan SPRM ke PDRM bagi menjelaskan tuntutan polis pada minggu depan.

Lihat Komen
ADS