Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shaheizy: Yang berserban tu tak sebut nama Allah pun

Watak pengganas yang berserban yang disaksikan dalam trailer filem Polis Evo 2 tidak semestinya menggambarkan imej Islam, kata pelakon utamanya, Shaheizy Sam.

Shaheizy berkata adalah tidak adil untuk menilai filem tersebut hanya berdasarkan trailer sepanjang dua minit itu lalu terus menghukum bahawa filem terbabit mengandungi unsur mencemarkan imej Islam.

"Saya sebagai penonton, saya juga sebagai pelakon, saya juga sebagai orang yang membaca skrip dari awal, saya tak rasa yang pakai serban itu mesti mewakili ajaran Islam.

"Yang pegang pistol, anggota polis-polis tu lagi Islam.

"Ada adegan diorang sembahyang, sembah Allah SWT..." katanya ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen hari ini.

"Tapi yang pakai serban tu tak ada. Tak ada satu nama Allah pun dia sebut.

"Jadi kenapa saya nak anggap yang itu adalah (imej) Islam?," tambahnya.

Mufti pun tengok

Diminta mengulas gesaan memboikot filem Polis Evo 2 dan pelakon-pelakonnya atas dakwaan menghina Islam, Shaheizy mempersoalkan sama ada imej berjubah dan berserban melambangkan agama Islam atau hanya budaya Arab.

"Mana mereka tahu watak dalam tu watak Islam? Watak jahat dalam tu Islam mana mereka tahu?

"Adakah itu imej Islam atau adakah itu imej Arab?" katanya lagi.

Pengarah Polis Evo 2, Joel Soh dan Andre Chiew

Sebelum ini, terdapat dakwaan daripada beberapa pihak bahawa filem arahan Joel Soh dan Andre Chiew itu memberi gambaran buruk tentang Islam, menerusi watak Hafsyam Jauhari lakonan Hasnul Rahmat yang memakai serban.

Shaheizy bagaimanapun menyuarakan keyakinan bahawa pihak Lembaga Penapisan Filem telah menjalankan tugas mereka dan mendapati tiada terdapat unsur-unsur seperti didakwa.

"Mufti pun dah tengok. Sebenarnya tak ada masalah.

"Kita faham mungkin ada sesetengah orang dia tak suka nak tahu. Bagi saya tengok dulu, dan nilai lah sendiri Islam yang mana yang betul," katanya.

Ditanya pendapat jika isu terbabit telah dipolitikkan, Shaheizy enggan mengulas lanjut.

Sebelum ini anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Riduan Mohd Nor menyatakan rasa tidak senang dengan filem Polis Evo 2.

Riduan turut menggesa rakyat negara ini untuk memboikot filem berkenaan.

Filem yang diterajui Shaheizy dan Zizan Razak itu akan mula ditayangkan di seluruh negara 22 November ini.

Lihat Komen
ADS