Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Malam tadi sebanyak 12 lagu terpilih menjadi finalis untuk bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu 33 (AJL33).

Namun, tidak semuanya disenangi.

Bagi penyanyi Aweera misalnya dia mempertikaikan keputusan juri kerana daripada 12 finalis terpilih tidak ada satu pun peserta berkumpulan mendapat tempat

“Kenapa? Kenapa? Kenapa? AJL ni anugerah solo ke?

“Band mana band? Kenapa kugiran Masdo tak dapat? Come on-lah!” katanya di Instagram.

Penyanyi seperti Siti Sarah, Misha Omar, Khai Bahar, Sufian Suhaimi, Wany Hasrita, Ara Johari dan Syamel disenarai sebagai antara 12 peserta yang layak ke AJL33 yang dijangka berlangsung Feb tahun depan.

Turut terpilih ialah Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah, Kaer dan Amylea, serta Siti Nordiana dan Jaclyn Victor sebagai pasangan duet.

Keputusan itu juga menyaksikan peserta berkumpulan seperti Masdo, Akim & The Majistret dan One Avenue Band gagal mendapat tempat di pusingan akhir pertandingan yang diadakan bagi memilih lagu-lagu terbaik tahunan itu.

Aweera - dulu vokalis band PrimeD - yang kini menganggotai Pelita Lusoh turut memuat naik tanda pagar secara sinis seperti #nahh #permainan #toomuch pada status berkenaan.

Pemilik nama sebenar Nasharul Aweera Noriyissham itu kemudian berkata: "Jangan nampak sangat permainan tu kan guys."

Bukan tugas mudah

Seorang daripada pengikutnya yang bersetuju dengan kenyataan itu juga berkata dia hampa apabila Masdo gagal menyertai 12 finalis berkenaan.

"Hampa weyh Masdo tak masuk," kata pengguna akaun @arieszainalofficial.

Aweera lalu membalas: "Itula… sekurang-kurang bagi ada satu atau dua band pun tak apa, ni terang-terang sangat."

"Aku bukannya nak provok ke apa tetapi setidaknya berlaku adil dan sama rata kepada band dan solo.

"Sebab nama pun Anugerah Juara Lagu, chill," katanya.

Sementara itu, Pengurus Hiburan Primeworks Studios, Muhamad Sufian Che Isa berkata tiada kuota tertentu ditetapkan penganjur kepada juri.

"Juri bebas memilih lagu sama ada dinyanyikan oleh artis solo, duet atau berkumpulan," katanya kepada Malaysiakini.

Kata Muhamad Sufian, markah diadili daripada pelbagai aspek termsuk melodi, lirik, susunan muzik dan beberapa aspek lain.

“Kalau lagu dipilih tiada artis berkumpulan, solo atau duet itu bukan kriteria kami kerana keputusan dibuat berdasarkan lagu semata-mata.

“Tahun ni ada ramai artis duet, kalau tak ada artis berkumpulan ia cuma kebetulan,” katanya.

Menurut Muhamad Sufian, bukan mudah untuk tujuh juri melakukan tugas mereka, justeru pihaknya meminta semua pihak menghormati keputusan yang telah dimuktamadkan.

“Untuk tujuh juri memilih 12 lagu daripada 30 yang tersenarai ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 33 bukan mudah.

"Kami sudah tetapkan kriteria penjurian dan harap masing-masing hormat tugas dan keputusan yang telah dibuat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS