Meskipun sedang bertarung dengan barah limfoma, penyanyi Elyana sempat mengubat hatinya dengan mengambil seorang anak angkat lelaki penghidap sindrom down.
Elyana, yang diuji kanser kelenjar tahap empat sejak tujuh tahun lalu berkongsikan berita gembira itu dengan peminat di akaun Instagram miliknya kelmarin.
“Ya, ini anak saya, cuma saya tidak melahirkannya.
“Kini umurnya genap sebulan 24 hari. Terima kasih atas doa-doa anda buat saya sekeluarga,” kata pemilik nama penuh Erneelya Elyana Emrizal itu melalui Insta Story.
Bayi lelaki yang diberi nama Tulus itu dipelihara Elyana, 31, sejak sebulan lalu.
Elyana mendirikan rumah tangga dengan Khairul Anuar Husin pada 2010 dan dikurniakan seorang anak perempuan diberi nama Cinta Sumayyah, yang kini berumur tujuh tahun.
Penyanyi yang popular dengan lagu-lagu seperti Kalis Rindu, Tak Tercapai Akalmu dan Kau Atau Aku itu sebelum ini pernah dilaporkan hamil anak kedua.
Bagaimanapun, kandungan itu terpaksa digugurkan kerana bimbang komplikasi penyakit kanser yang dihidapi boleh memudaratkan diri atau bayi yang sedang dikandungnya.
