Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata kerajaan akan cuba memuktamadkan keputusan mengenai orang yang bakal menduduki jawatan penting di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) minggu ini.
Gobind juga memaklumkan anggota baru lembaga pengarah Finas mengadakan mesyuarat berhubung isu berkenaan baru-baru ini.
“Anggota lembaga pengarah dan sekumpulan penasihat juga sudah dilantik.
"Saya dimaklumkan mesyuarat berlangsung pada Isnin lalu,” katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.
Gobind berkata, beliau akan bertemu anggota baru lembaga pengarah Finas dalam masa terdekat untuk memastikan siapa yang dipilih bagi memegang kerusi panas di Finas itu.
“Menjelang akhir minggu ini kita akan ada anggota lembaga pengarah, penasihat, pengerusi, ketua pengarah dan timbalan ketua pengarah," katanya.
Menurut anggota parlimen Puchong itu Finas kemudian akan menjalankan peranannya mengikut apa yang sepatutnya.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan penggiat seni khususnya kalangan penerbit dan pengarah berkeluh-kesah apabila tiada penjawat bagi kedudukan ketua pengarah dan timbalan ketua pengarah Finas.
Antaranya mereka berkata, keputusan sukar dicapai dan tiada kelulusan membabitkan sesuatu geran yang dipohon kerana pemangku ketua pengarah atau timbalannya mempunyai ruang kuasa terhad.

“Justeru kami menyeru menteri menyegerakan apa saja beliau nak buat supaya penggiat bidang perfileman tidak tertunggu-tunggu... nanti susah,” kata pengarah Mahadi J Murat.
Jawatan pengerusi Finas sebelum ini disandang Khusairi Abdul Talib, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim dan Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri Perak (PAC).
Beliau melepaskan jawatannya kurang seminggu selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan Pusat.
Penyandang jawatan Ketua Pengarah Finas, Fauzi Ayob pula diganti Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Shakib Ahmad Shakir sebagai pemangku berkuatkuasa 8 Oktober lalu.
Timbalan Setiausaha Bahagian Kewangan KKMM, Fairul Azida Shahabudin dilantik sebagai Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Finas bagi menggantikan Azmir Saifuddin Mutalib.
