YouTube itu 'seksi' tapi Anji enggan terjebak aib
Biar pengikut tidak ramai namun menggunakan gimik mengaibkan demi menarik lebih ramai pelanggan di akaun YouTube, Anji tidak sekali-kali rela.
Kata penyanyi Indonesia itu dia perlu memelihara imejnya - antara lain - kerana dia kini bapa kepada lima anak yang meningkat dewasa.
“Saya takkan buat perkara yang memberi malu kepada diri atau keluarga semata-mata meraih populariti,” katanya ditemui pada majlis pelancaran karaoke video muzik lagu Dia di Kuala Lumpur.
Anji atau nama sebenarnya Erdian Aji Prihartanto berkata demikian kerana anak sulungnya kini berusia 16 tahun.
Justeru, dia perlu memelihara hubungan positif dengan anak-anaknya kerana penggunaan laman perkongsian video popular itu turut dimanfaatkan oleh rakan sebaya anak-anaknya.
Anji, 40, kini hidup bersama Wina Natalia yang dinikahinya pada 2012, dan dikurniakan dua orang anak, manakala perkahwinan pertamanya, Anji mendapat seorang cahaya mata.
Sebelum bernikah Wina membesarkan dua anak hasil perkahwinan pertamanya.
Kena sesuaikan dengan keadaan
Dia yang juga popular dengan lagu Bidadari Tak Bersayap, Kekasih Terhebat dan Berhenti Di Kamu itu mula bergiat aktif sebagai YouTuber sejak 2009.
Melalui saluran YouTube Dunia Manji, Anji banyak membahas hal-hal berkaitan keluarga, muzik dan topik tular semasa.
Mengulas kecenderungannya di YouTube Anji menjelaskan golongan penghibur yang semakin berusia seperti dirinya harus peka perkembangan semasa.

“Seorang pemuzik itu semakin tua dan di sekelilingnya ramai lagi penyanyi muda dan baru, jadi dia perlu mengadaptasi dirinya dengan keadaan.
“Media sosial seperti YouTube banyak kegunaan selain ia sebuah platform yang sangat seksi,” katanya dengan berseloroh.
Sementara itu, menceritakan kejayaan Dia, Anji berkata, sejak dilancarkan dua tahun lalu, lagu itu banyak meninggalkan kesan positif kepada masyarakat di Indonesia.
Menurut bekas vokalis kumpulan Drive itu, lagu Dia memaparkan bahasa isyarat dan juga sari kata bagi memudahkan orang mempunyai masalah pendengaran.
“Timbul kesedaran untuk penduduk Indonesia belajar dan mengambil tahu mengenai bahasa isyarat, ia sekaligus membuatkan mereka memberi perhatian kepada golongan berkenaan.
“Orang pekak ada hak untuk mendapat maklumat dan golongan itu menikmati muzik secara unik, dengan adanya bahasa isyarat kaedah berkenaan amat membantu mereka sesebuah karya,” katanya.

