Pementasan teater Rentas Sastera Nusantara mengangkat dua mesej sasterawan Usman Awang dan Mohamed Latiff Mohamed dalam misi memartabatkan sastera di seluruh nusantara.

Menurut Pengarah Artistik Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani) Events, Fauziah Nawi, antara sebab karya dua tokoh berkenaan dipilih dalam persembahan kali ini adalah kerana puisi-puisi mereka yang begitu mengesankan.

Fauziah, 65, yang juga seorang pelakon menjelaskan intipati cuba disampaikan dalam teater berkenaan dilihat amat relevan dengan nilai-nilai kemanusiaan yang semakin pupus dalam dunia sekarang.

“Kalau hendak maju kita tak boleh mengenang perkara lalu sebaliknya harus bangkit dan berjuang.

“Jika kita tak mahu belajar daripada pengalaman dan kesilapan lalu, sampai bila-bila pun kita akan jadi bangsa yang rugi.

“Justeru, kita kena bangkit maju dan bersaing dengan semua orang,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui pada malam gala Rentas Sastera Nusantara di Ampang, Kuala Lumpur semalam.

Untuk siri pertama projek berkenaan, Stefani Events bekerjasama dengan Variasi Performing Arts dari Singapura buat julung kalinya bagi menjayakan persembahan yang bakal berlangsung bermula malam ini hingga esok.

Ia dijadual bermula jam 9 malam di Studio Stefani, Ampang, Selangor.

Rentas Sastera Nusantara menampilkan persembahan daripada dua kumpulan teater iaitu Variasi Performing Arts dari Singapura dan Sanggar Teater Fauziah Nawi, Malaysia.

Variasi Performing Arts akan mempersembahkan Dari Bintang ke Bintang karya Usman manakala Stefani mempersembahkan karya Mohamed Latiff Mohamed dan diarahkan Iryanda Mulia Ramly.

Akan ke Jakarta, Singapura

Pelakon yang akan membarisi pementasan ini adalah Azri Iskandar, Syel Ramlan, Chi Azim, Azimah Mozerin, Muhammad Faiz dan Syed Abdullah.

Sementara itu, pengarah Variasi Performing Arts Muhammad Andi berkata dia teruja diberi peluang merealisasikan kolaborasi berkenaan selepas bertahun-tahun merancang mengenainya.

“Alhamdulillah kami dapat hasilkan satu pementasan bersama. Insya-Allah lepas ni jika tiada aral melintang projek akan dilanjutkan ke Jakarta dan Singapura demi mengangkat sastera melalui teater,” katanya.

Bagaimanapun, kata Muhammad Andi, di setiap negara itu mereka tidak akan menggunakan naskhah sama seperti yang dipersembahkan pada kali ini.

“Mungkin ada naskhah baru setiap daripada sasterawan berlainan yang berasal dari negara berkenaan,” katanya.