Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Raja Pop tanah air Jamal Abdillah berkata Dr Mahathir Mohamad menjadi salah satu tokoh yang sering memberi sokongan pada persembahannya walaupun bukan ketika beliau menjadi perdana menteri.

Penyanyi popular berkenaan berkata situasi itu dialami sebelum 2006 dan Mahathir sudah bersara daripada politik.

“Mahathir memberi sokongan kepada saya dengan hadir menyaksikan persembahan saya sejak beliau menjawat jawatannya.

“Selepas beliau melepaskan jawatan sebagai perdana menteri, lebih bebas dan tak terikat dengan hal pentadbiran negara pun beliau masih gemar hadir ke konsert saya,” katanya.

Jamal ditemui pada sidang media kedua Konsert Duo Legenda Jamal Abdillah dan M Nasir di Kuala Lumpur hari ini.

Selain Jamal dan M Nasir, Konsert Duo Legenda itu akan turut menampilkan penyanyi kelahiran Australia yang mencipta nama dengan lagu-lagu Melayu di YouTube, Cassidy Anderson.

Menariknya, Mahathir bukan saja meminati suara penyanyi lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu malahan menyatakan persetujuannya untuk menjadi penaung konsert berkenaan.

Kutip dana bantuan

Bagaimanapun, Jamal berkata dia perlu berdepan dugaan bagi merealisasikan impiannya sebelum mendapatkan persetujuan perdana menteri ketujuh Malaysia itu.

Katanya memang sulit mendapatkan penaung kerana khuatir akan timbul isu, namun Mahathir bersetuju secara tidak langsung kerana isteri beliau Dr Siti Hasmah Mohamad Ali akan menggesek biola pada salah satu malam persembahan.

"Tiket konsert juga akan dijual bagi mendapatkan dana untuk diberi kepada golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Untuk rekod, konsert di Istana Budaya itu akan berlangsung selama empat malam mulai 20 Dis.

Namun satu daripada tarikh berkenaan iaitu 22 Dis lebih istimewa kerana akan menyaksikan Siti Hasmah menggesek biola.

Tokoh berusia 92 tahun itu bakal mengiringi lagu Gubahanku pada konsert yang ditaja sepenuhnya oleh syarikat Shapadu Corporations Sdn Bhd itu. 

Acara kutipan dana secara spontan juga akan dijalankan pada malam berkenaan.

Sementara itu, Jamal berkata tiada isu dia ingin mengambil kesempatan atas kehadiran atau pembabitan Mahathir dan Siti Hasmah.

Sebaliknya, penyanyi yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu 1997 itu berkata dia bersyukur dengan kesudian perdana menteri dan isterinya memberi sokongan pada Konsert Duo Legenda.

"Saya tak akan guna surat penaung untuk kepentingan tetapi sekadar berterima kasih dan berbangga dengan kehadiran beliau dan isterinya yang akan turut membuat persembahan,” katanya.

Lihat Komen
ADS