Kerana abai seni, terhakislah sifat toleransi
Pelakon dan aktivis teater terkenal Fauziah Nawi meluahkan kebimbangannya apabila mengenangkan rusuhan mengakibatkan kerosakan harta benda dan mencederakan anggota keselamatan dalam insiden di Subang Jaya pada 26 Nov lalu.
Bagi Fauziah ketegangan itu berlaku ekoran sikap saling hormat-menghormati - antara kunci kepada keamanan di negara ini - semakin terhakis.
Justeru katanya keadaan itu menambah ketegangan dalam isu pemindahan tapak Kuil Sri Maha Mahariamman berkenaan.
“Tidakkah mereka takut dengan keadaan kacau-bilau dan porak-peranda yang berlaku?” katanya kepada Malaysiakini.
Fauziah, 65, berkata mana-mana individu yang bertindak di luar kawalan hingga mencetuskan pergaduhan sebenarnya tidak mensyukuri kedamaian dikecapi negara ini.
“Kalaulah mereka ni semua pernah melihat peristiwa sebelum merdeka, pasti timbul perasaan takut dan tak mahu terjebak dengan perkara-perkara begini.
“Saya sedih, sangat-sangat sedih,” katanya.
Kuatkan jati diri
Dalam kejadian awal pagi Isnin minggu lalu, pergaduhan berlaku selepas terdapat pertikaman lidah antara dua kumpulan berhubung arahan memindahkan kuil tersebut selepas diputuskan mahkamah sejak 2014.
Polis sudah menahan berpuluh-puluh orang suspek dan mendakwa sebahagian daripada mereka hari ini.
Dalam perkembangan terbaru, lapan suspek yang terbabit dalam rusuhan dihadapakan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi tadi bagi tujuan pendakwaan.

Justeru, kekecohan dan terhakisnya sikap tolak ansur berlaku kerana rakyat di negara ini sekarang cuma ghairah memburu kecemerlangan akademik semata-mata.
Katanya antara subjek yang ditekankan oleh banyak pihak ialah Sains, Matematik dan Ekonomi semata-mata.
Sepatutnya menurut pemenang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2018 itu, subjek seperti ilmu kesenian wajar diberi penekanan sama.
Katanya dengan keseimbangan antara subjek itu ia boleh membantu membentuk pemikiran rasional seseorang.
“Pendidikan ilmu kesenian akan melembutkan dan menguatkan jati diri seseorang.
“Bagi saya, seni ni boleh menjadikan seseorang itu berhemah dan tahu menghormati orang lain,” katanya.

