Untuk mengetengahkan bakat vokalnya secara rasmi, pemain shaker kumpulan Caliph Buskers, Nor Nadira Rubina, sedia maklum dirinya perlu menjalani 'transformasi' terlebih dahulu.

Menurut Nor Nadira, sebagai seorang orang kurang upaya (OKU) penglihatan, dia mengaku sifat malu amat menebal dalam dirinya.

Justeru, katanya, untuk mengatasi personaliti bersifat pasif itu, dia berazam untuk memperbanyakkan berkomunikasi dari biasa.

“Saya sebenarnya amat pemalu dan tak banyak bercakap, malah saya kurang yakin untuk menyahut cabaran sebagai vokalis pada awalnya.

“Tapi saya tahu, kena ubah sifat tu sekarang dengan memberanikan diri untuk berhadapan orang lebih kerap selain baiki cara percakapan,” katanya.

Nor Nadira ditemui pada sidang media pelancaran lagu terbaru Caliph Buskers, Hanya Mimpi di Mutiara Damansara, Petaling Jaya semalam.

Turut hadir, empat lagi anggota kumpulan berkenaan, Khairul Azmi Mohd Saat (vokalis/basis), Mohd Zaki Ismail (gitaris), Nirwan Zainal Abidin (gitaris) dan Fendy Adlun (dram).

Satu tahun dua lagu

Hanya Mimpi ialah lagu menyuntik unsur positif yang menyentuh falsafah kehidupun, dicipta bersama komposer Faizal Tahir, Mike Chan dan Romeo.

Berkongsi lanjut apa yang dilaluinya, kata Nor Nadira, dia tidak sesekali mengambil remeh peluang yang ditawarkan untuk menyanyikan Hanya Mimpi.

“Saya akan masuk kelas vokal untuk perbaiki cara nyanyian,” katanya.

Caliph Buskers - band yang memulakan perjalanan seni seawal 2014 sebagai pemuzik jalanan - sebelum ini hanya sering menampilkan Azmi sebagai vokalis utamanya.

Namun kelibat Nor Nadira didapati mencuri perhatian sebaik vokalnya diperdengarkan dalam sebuah klip video yang memaparkan Caliph Buskers menyampaikan lagu popular Haram mengikut versi sendiri.

Lagu asal Haram dinyanyikan Dayang Nurfaizah dan Hael Husani.

Gambar fail

Sementara itu, menurut Azmi, demi memastikan masa depan Caliph Buskers lebih terjamin, sudah sampai masanya untuk mereka mencipta lebih banyak karya sendiri.

“Nak cuba buat lagu sendiri. Kalau sebelum ni setahun satu lagu, sekarang kami nak cuba hasilkan setahun sekurang-kurang dua lagu," katanya.

Menurut Azmi lagi, dia tidak mahu menghilangkan keghairahan peminat yang selama ini menyokong mereka dengan setia sepanjang berada dalam platform hiburan tanah air.

“Sebagai band sentiasa kena ada lagu, itu sudah menjadi tugas kami, tapi memang bukan senang kerana banyak perkara perlu dipelajari daripada orang berpengalaman,” katanya.