Di mata Haliza Misbun, ada banyak kelebihan yang ada pada U-Wei Saari namun satu ciri yang menonjol ialah kegigihan pengarah terbabit mengangkat isu kewanitaan.
Kata Haliza, berdasarkan pemerhatiannya itu jugalah dia tidak berfikir panjang untuk memberikan persetujuan menjayakan pementasan teater Pokok di bawah arahan U-Wei.
“Saya ibaratkan U-Wei seperti seorang lelaki yang terperangkap di dalam badan wanita.
“Dia seorang feminist. Macam terbalik pula. Sepatutnya wanita yang perjuangkan hak wanita,” katanya kepada Malaysiakini.
Naskhah Pokok ditulis tokoh wartawan dan sasterawan, Johan Jaaffar dipentaskan di Auditorium DBP bermula malam tadi hingga 16 Disember ini dengan slot bermula jam 8.30 malam.
Selain itu, nashkah berkenaan juga akan ditayangkan sebelah siang iaitu jam 3 petang pada 8, 9, 15 dan 16 Disember.
Pokok mengisahkan kehidupan sepasang suami isteri, Darwis - watak dilakonkan Ebby Saiful dan Mardiah (Haliza) - yang menetap di sebuah kediaman kecil di pinggir hutan.
Jarang muncul di TV
Nyawa mereka diancam keselamatan dek sebatang pokong besar yang memayungi kediaman itu.
Mardiah juga berdepan konflik apabila pemilik rumah sewa mereka, Tuk Kaya (Rahim) menaruh perasaan terhadapnya.
Haliza, 46, yang bakatnya mula dikenali melalui pentas teater di bawah arahan Rahim Razali mengaku sangat selektif dalam memilih sesuatu projek.
Justeru, pelakon drama Sumayyah itu berkata, dia seboleh-bolehnya ‘mengharamkan’ dirinya daripada membawa karakter yang menuntutnya berlakon sebagai wanita lemah.

“Kalau watak yang sikit-sikit menangis, saya memang tak suka. Kalau nangis kena bangun balik.
“Disebabkan karakter-karakter begini juga buatkan saya jarang muncul di televisyen, ” katanya.
Begitu pun, Haliza yang juga popular melalui drama Cinderella itu mengaku sedikit pun tidak terjejas sekiranya sikap selektif itu memberi kesan kepadanya.
“Saya tak kisah jika orang takut berikan tawaran pada saya. Serius. Saya langsung tak berminat nak berurusan dengan orang penakut.
“Kalau dia berani boleh berdepan dengan saya. Saya suka bekerja dengan orang begini kerana secara tak langsung dia tunjukkan kehebatannya,” katanya.
