Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) akan menyalurkan dana yang dikumpulkan untuk Benjy melalui koperasi pegawai penjara di tempat pelakon terbabit ditahan.

Presiden Seniman, Zed Zaidi berkata, setiap wang yang dikumpul bagi menampung perbelanjaan Benjy di penjara Tanjung Gusta, Medan, Indonesia juga akan direkod dan diaudit Seniman untuk memastikan tiada sebarang kepincangan.

“Setakat ini hasil kutipan sudah mencecah RM5,000, sumbangan diperoleh daripada rakan-rakan artis dan orang ramai.

“Seniman akan menyalurkan dana tersebut ke dalam koperasi penjara. Tiket atas akaun Seniman. Berapa haribulan sekalipun duit itu masuk semuanya direkod,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Zed mengulas demikian sebagai meyakinkan orang ramai - sekiranya mereka ingin turut sama menyumbang - bahawa dana berkenaan bukan untuk kepentingan peribadi.

Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim dihukum 11 tahun penjara atas kesalahan menyorokkan 4.5 gram methamphetamine atau syabu di bahagian dubur ketika berkunjung ke Medan, Indonesia pada April 2017.

Pada 15 Dis lalu, Seniman menjadi pengunjung pertama anak arwah seniwati Azean Irdawati itu.

Zed Zaidi (kanan) ketika mengunjungi Benjy di penjara Tanjung Gusta, Medan, Indonesia.

Benjy didakwa mengidap asma kronik dan mungkin berdepan risiko penyakit tibi sekiranya dia tidak dirawat dengan segera.

Seniman sebelum ini memaklumkan daripada keseluruhan perbelanjaan RM1,000, sementara RM600 daripadanya akan digunakan bagi tujuan menampung kos perubatan Benjy manakala selebihnya untuk hal-hal kebajikan.

Menjelaskan lebih lanjut, kata Zed atau nama asalnya Rozaidi Abd Jamil, niatnya adalah untuk sedaya-upaya membantu meringankan kos sara diri ditanggung Benjy.

“Disebabkan dia bukan warganegara di sana, Benjy perlu membayar lebih untuk kos perubatan manakala makanan pula tak cukup disebabkan kapasiti banduan,” katanya.

Lihat Komen
ADS