Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
37 syarikat hutang RM3 juta dengan Istana Budaya

Sebanyak 37 syarikat masih belum melunaskan hutang tertunggak bernilai kira-kira RM3 juta selepas terlibat sebagi penaja persembahan di Istana Budaya.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Mohammadin Ketapi berkata jumlah itu adalah hutang terkumpul semua syarikat berkenaan sejak Istana Budaya membuka peluang penajaan persembahan kepada syarikat baru pada 2010.

Justeru, kata beliau, selepas ini Istana Budaya akan memastikan syarikat penaja memenuhi kriteria tertentu sebelum diberi peluang terlibat bagi mengelakkan perkara sama berulang.

"Tahun ini tidak mungkin akan berulang lagi seperti dahulu. Pihak Istana Budaya tidak akan memberi peluang itu dengan sewenang-wenangnya.

"Untuk menjadi penaja, mereka perlu menunjukkan bajet yang dimiliki terlebih dahulu bagi mengelak syarikat yang diberi peluang itu menarik diri pada saat akhir," katanya.

Mohammadin ditemui pada majlis pelancaran Program Istana Budaya 2019 di Istana Budaya, Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Rashidi Hasbullah dan Ketua Pengarah Istana Budaya Mohamed Juhari Shaarani.

Menurut Mohammadin, hanya syarikat yang sudah membayar deposit akan diumumkan sebagai penaja sesuatu persembahan.

Bagaimanapun, Mohammadin menggalakkan pihak swasta atau syarikat-syarikat yang berkemampuan terlibat menjadi penaja dan memainkan peranan lebih aktif dalam membantu produksi persembahan di Istana Budaya.

Beliau berkata, syarikat yang memberi penajaan berpeluang menerima rebat cukai berdasarkan sub seksyen 34 (6)(k) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memperuntukkan penajaan aktiviti kesenian, kebudyaan dan warisan tempatan serta asing yang akan diadakan di dalam negara.

"Penaja amat dialu-alukan untuk berkolaborasi dalam mana-mana aspek persembahan di Istana Budaya.

"Syarikat yang menaja boleh diberi pelepasan cukai hingga RM700,000, kelulusan ini di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya," katanya.

Sementara itu, menurut Mohamed Juhari, sebanyak 20 persembahan telah dipilih bagi mengisi slot sepanjang tahun 2019.

Katanya, jumlah itu dijangka bakal bertambah berikutan teknologi pentas Panggung Sari siap dinaiktaraf sepenuhnya pada penghujung Mei depan.

"Antaranya program antarabangsa seperti teater muzikal Phantom Of The Opera, tarian ballet Fairy Dol dan Swan Lake serta persembahan tarian kontemporari Formosa dari Taiwan.

"Bagi program tempatan yang bakal memeriahkan pentas Panggung Sari antaranya teater Ola Bola the Musical Season 2, teater Tun Fatimah, teater tradisional Makyong Raja Besar Maha Gading dan Konsert Diraja Raja serta Rakyat Berpisah Tiada," katanya.

ADS