Seni & Hiburan Malaysiakini

Siasat skandal pelacuran artis, polis pun terkejut

Hiburan  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Satu demi satu maklumat terungkap selepas polis Indonesia menjalankan siasatan terhadap aktiviti pelacuran membabitkan artis negara itu.

Terkini polis Jawa Timur mendapati, bukan saja kalangan artis berusia pertengahan 20-an yang giat menjaja tubuh masing-masing.

Kata Ketua Perhubungan Awam Polis Jawa Timur Frans Barung Mangera ada maklumat lebih mengejutkan ditemui pasukan penyiasat.

"Artis yang berusia 19 tahun pun ada," katanya di Surabaya seperti dipetik Tempo hari ini.

Isu pelacuran kelas tinggi melibatkan selebriti Indonesia kembali menjadi bualan selepas pelakon Vanessa Angel ditangkap pada 5 Jan lalu.

Vanessa, 27, dicekup ketika bersama seorang ahli perniagaan di atas ranjang dalam sebuah kamar di hotel mewah di Surabaya.

Turut terkait dengan aktiviti itu ialah Avriellia Shaqqila. Polis juga menemukan ada sekurang-kurangnya 45 artis dan 100 model menawarkan khidmat seks di Indonesia.

Kegiatan itu diurus secara dalam talian.

Vanessa dikatakan dilanggan dengan harga Rp80 juta (RM23,270) namun seorang lagi artis yang turut pernah ditahan kerana disyaki turut terbabit dalam kegiatan itu, Nikita Mirzani, mendakwa habuan untuk perkhidmatan itu boleh mencecah sehingga Rp300 juta (lebih RM87,300).

Kata Frans Barung artis remaja yang disyaki itu bukan salah seorang daripada lima selebriti yang ditahan polis baru-baru ini.

"Namanya ditemui kesan siasatan polis dalam kes pelacuran terbabit," katanya.