Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
500 penggiat seni mencarum program khairat kematian YKAT
Diterbitkan:  Jan 15, 2019 10:36 PM
Dikemaskini: 2:36 PM

Program Khairat Kematian Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) telah menerima pencaruman 500 penggiat seni sejak ia diperkenalkan tiga tahun lepas.

Pengerusi YKAT, Datuk Irwan Shah Abdullah atau lebih dikenali sebagai DJ Dave berkata program usaha sama BumiJez Sdn Bhd itu tidak hanya terhad kepada golongan artis sebaliknya ia merangkumi semua penggiat seni termasuklah pekerja di belakang tabir dan juga media.

"Kita sudah mulakan program ini sejak tiga tahun lepas. Namun, program ini baharu sahaja menjalani proses penjenamaan semula, tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada kepada artis tanah air sempena perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina, di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada majlis itu, YKAT menyampaikan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada 15 artis terdiri daripada pelbagai kaum bertujuan meringankan beban yang ditanggung di samping sebagai tanda penghargaan kerana pembabitan mereka dalam dunia seni.

Pada majlis sama, YKAT turut menyampaikan sumbangan kepada waris Ruzzlan Shah Abdullah atau juga dikenali sebagai Lan Cina yang meninggal dunia, pada 21 Dis lepas.

Selain menerima sumbangan, Dave berkata, artis yang berusia antara 60 hingga 69 tahun turut diberikan keanggotaan program Khairat Kematian YKAT.

Beliau berkata YKAT telah membantu lebih 1,000 artis tanah air sejak penubuhannya enam tahun lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS