Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Vanessa dapat dukungan mak-mak Jawa Timur
Diterbitkan:  Feb 1, 2019 4:27 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Kini terperuk dalam tahanan polis, pelakon Vanessa Angel menerima sokongan moral untuk mengadapi tuduhan melacur yang kemungkinan besar akan dikenakan ke atasnya tidak lama lagi.

Sokongan itu datang daripada sekumpulan wanita yang menamakan diri mereka Barisan Emak-emak Jawa Timur.

Selain memberi sokongan kepada Vanessa - yang didakwa mereka sebagai mangsa dalam kes berkenaan - Barisan Emak-emak Jawa Timur mendesak polis bertindak lebih daripada sekadar menahan selebriti terbabit.

Penyelaras lapangan Barisan Emak-emak Jawa Timur, Rina Restu Wardhani, berkata polis Jawa Timur sepatutnya melindungi kaum wanita daripada eksploitasi pelacuran dalam talian seperti yang memerangkap Vanessa.

"Kami menyokong Vanessa Angel karena dia tidak bersalah, sebaliknya hanya menjadi mangsa bapa ayam dan laki-laki hidung belang," katanya semasa mengadakan protes di depan pintu masuk utama Ibu Pejabat Polis Daerah Jawa Timur sebentar tadi.

Pelakon, penyanyi dan model berusia 27 tahun itu disahkan polis Jawa Timur dicekup di sebuah bilik hotel di Jakarta pada 5 Jan lalu.

Dia dipercayai melacurkan diri dengan mendapatkan pelanggan melalui dalam talian. Ketika ditahan Vanessa berada di atas ranjang dengan seorang lelaki yang didakwa polis seorang tauke pasir.

Sentiasa peduli nasib bangsa

Pada 30 Jan lalu polis Jawa Timur menahan Vanessa dan secara rasmi menjadikannya sebagai suspek dengan kemungkinan besar akan didakwa.

Tangkapan itu dibuat berdasarkan bukti diperolehi pasukan forensik digital polis yang mendapati Vanessa mengirim gambar dan video seksinya kepada enam individu yang menjadi orang tengah sehingga ia tersebar ke pihak lelaki hidung belang.

Polis juga menahan pelakon telefilem Cinta Dibelakang Bak Truk itu kerana bimbang dia akan mengulangi perbuatannya, serta berisiko menghilangkan bahan bukti.

Kata Rina, Barisan Emak-emak Jawa Timur akan menghantar wakil untuk menziarahi Vanessa tidak lama lagi.

"Kami sentiasa peduli kepada anak perempuan bangsa Indonesia," katanya.

Untuk rekod Vanessa ketika ini dirawat di Hospital Bhayangkara selepas pengsan semasa diperiksa doktor.

Rina juga menggesa polis menyiasat kes pelacuran tersebut sehingga ke akar umbi.

"Kami meminta wanita dilindungi, sekali gus mendukung langkah polis membongkar kes pelacuran ini bagi membasmi aktiviti maksiat di Jawa Timur," katanya.

Lihat Komen
ADS