Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Penyanyi asal Limbang di Sarawak, Rendy Faliq, mengaku dia tidak pernah berniat untuk mempermainkan Islam atau menyimpan niat serong apabila tampil menggunakan nama Muslim.

Rendy yang beragama Kristian itu berkata dia tidak menyangka nama yang digunakannya kini membawa dia menjadi mangsa kecaman ramai, selain mendakwa menerima ugutan bunuh.

“Tidak pernah terlintas sedikit pun saya nak salah gunakan nama itu untuk tujuan tidak baik.

"Saya tak sangka nama Rendy Faliq boleh jadi isu sebab saya tak ada niat lain kecuali untuk tujuan penampilan pentas atau komersial saja,” katanya melalui aplikasi teks pesanan ringkas kepada Malaysiakini.

Pemilik nama sebenar Andy Baru Francis itu berkata, terdapat segelintir pengguna media sosial yang berasa tidak selesa dengan nama komersial yang digunakannya.

Justeru, mereka mendakwa dia sengaja mengambil jalan ringkas untuk meraih populariti.

Rendy menjelaskan, dia hanya mula menggunakan nama komersial itu sejak akhir tahun lepas apabila muncul buat pertama kali dengan single Kata Hatiku - runut bunyi untuk drama popular Lelaki Kiriman Tuhan - selepas beberapa tahun menyepi dari radar hiburan. 

Tak salam perempuan

Sebelum itu katanya, dia memperkenalkan dirinya sebagai Andy Baru apabila muncul dalam pertandingan Bintang RTM pada 2004.

Rendy berharap penjelasan yang diberikan dapat menghapus kekeliruan peminat mengenai status agamanya.

Bagaimanapun, kata Rendy, seboleh-bolehnya dia akan cuba menjelaskan mengenai perkara sebenar berkaitan pegangan agamanya sekiranya keadaan memerlukan.

"Sejak saya menggunakan nama komersial Rendy Faliq, ramai beranggapan saya beragama Islam dan mereka memberikan salam.

“Namun, saya akan cuba terangkan bahawa saya bukan Muslim dan harap mereka faham,” katanya.

Meskipun bukan beragama Islam, Rendy berkata dia tetap menghormati batas yang ada dalam agama itu.

“Saya hormat agama Islam. Walau bukan Muslim apabila bersalaman saya tak hulur tangan kepada anak yatim perempuan semasa hadir aktiviti Rumah Titian Kaseh baru-baru ini,” katanya.

Lihat Komen
ADS