Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Usai melabuhkan tirai secara rasmi untuk perjalanan kariernya sebagai penyanyi rap dan hip-hop di ibu negara, Altimet meluahkan kelegaannya.

Bagi Altimet kini dia ibarat sudah melepaskan beban yang dipikul selama ini.

Secara berjenaka, Altimet yang juga berbakat sebagai komposer itu berkata, dia seperti seseorang yang telah melepasi tahap “ujian peperiksaan” yang paling besar dalam hidupnya.

“Rasa macam habis peperiksaan besar. Rasa macam satu beban besar dah terlepas dari bahu.

“Sepanjang 10 tahun ini, saya selalu rancang nak buat itu, nak buat ini, tapi sekarang macam dah tak ada semua itu,” katanya ketika ditemui selepas Konsert The Last Altimet Show di Pusat Dagangan Dunia Putra Sabtu lalu.

Konsert yang turut membariskan 20 teman artisnya itu turut dimeriahkan dengan beberapa rakaman klip video yang disediakan lebih awal.

Perkongsian menyentuh emosi turut ditayangkan. Antaranya berlaku pada saat ibunya, Jamalah Agil Alsagoff, mendedahkan dia sukar berjumpa dengan Altimet walaupun sebulan sekali kerana anaknya itu terlalu sibuk bekerja.

Malah Altimet pada paparan video seterusnya mengiyakan kenyataan itu.

“Salah satu sebab saya nak berhenti sebab sebelum ini tak dapat luangkan masa dengan keluarga,” katanya.

Altimet - atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad - sebelum ini mengumumkan untuk berhenti menyanyi sebaik usianya mencecah 40 tahun pada November lalu.

Untuk rekod, Altimet sudah merancang untuk berhenti menyanyi sejak 10 tahun lalu.

Dia juga pernah memberi bayangan untuk menumpukan perhatiannya kepada  mencipta lagu, berlakon atau mengembangkan perniagaan.

Altimet kemudian tampil dengan buah tangan terakhir iaitu album O, sebulan selepas pengumuman itu dibuat.

The Last Altimet Show menyaksikan penyanyi Orang Biasa itu mempersembahkan 26 lagu bersama artis lain seperti Aman Ra, Joe Flizzow, Sonaone, Amir Jahari, Tomok, Ila Damia, Noh Salleh, Awi Rafael, Hazama, dan Aizat Amdan.

Persembahan istimewa itu disaksikan kira-kira 5,000 peminat.

Mengulas persembahannya itu, Altimet berkata dia bersyukur kerana memberikan sehabis baik untuk kelancaran konsert berkenaan sekaligus menganggap ia sebagai memori paling indah sepanjang karier seninya.

“Saya rasa konsert ini dan album O, adalah yang terbaik pernah saya buat,” katanya.

Menambah rasa terharu, Altimet berkata, segelintir rakan yang hadir membuat persembahan malam itu tidak meminta bayaran sesen pun.

“Mereka tak nak duit tapi mahu menjadi sebahagian daripada konsert yang bersejarah ini. Saya juga mahu berikan saguhati, tapi mereka tetap menolak,” katanya.

Karier Altimet sebagai penyanyi rap dan hip hop sepanjang lebih 20 tahun mencapai tahap kemuncak di negara ini apabila dia memenangi tempat ketiga Anugerah Juara Lagu ke-28 melalui lagu Kalau Aku Kaya bersama Awi Rafael.

Lihat Komen
ADS