Kejutan Green Book, The Wife di Oscar ke-91
Naskhah berkisahkan persahabatan yang mempunyai perbezaan ras dan kelas sosial, Green Book, membuat kejutan besar apabila dinobat sebagai filem terbaik Anugerah Academy ke-91 di acara yang melabuhkan tirainya pagi tadi.
Filem biografi drama komedi - yang menerima lima pencalonan itu - juga membawa pulang dua lagi anugerah iaitu bagi kategori pelakon pembantu lelaki terbaik menerusi lakonan Mahershala Ali, dan lakon layar asli terbaik.
Green Book berjaya mengalahkan filem lain yang dianggap pesaing hebat seperti Bohemian Rhapsody dan A Star Is Born.
Filem diinspirasikan daripada kisah benar itu menceritakan perjalanan pemain piano muzik klasik dan jazz, Don Shirley (Mahershala) dengan pemandu dan pengawal peribadinya, Tony Vallelonga (Viggo Mortensen).
Berbeza daripada Shirely yang berdarah campuran Afrika-Amerika, Vallelonga pula warga AS yang berdarah Itali.
Walaupun naskhah arahan Peter Farrelly itu dirujuk sebagai filem ringan dan menyampaikan jalan cerita mengenai persahabatan yang mungkin tidak terjadi, naskhah berkenaan menerima kritikan berhubung cara ia menangani isu perkauman.
Malah ia juga digelar sebagai filem stereotaip “penyelamat kulit putih.”
Sementara itu filem berkisahkan kumpulan Queen dan vokalisnya, Freddie Mercury, Bohemian Rhapsody, membawa pulang empat anugerah daripada lima pencalonan, termasuk pelakon lelaki terbaik (Rami Malek), suntingan filem terbaik dan suntingan bunyi terbaik.
Satu filem satu anugerah
Filem hitam putih Roma berlatar belakang kehidupan kanak-kanak pengarah Alfonso Cuaron di bandar Mexico pada 1970-an membawa pulang tiga anugerah daripada 10 pencalonan.
Antaranya filem bahasa asing terbaik, pengarah terbaik dan sinematografi terbaik.
Filem Black Panther yang diadaptasi daripada komik Marvel hanya berjaya membawa pulang anugerah bagi kategori skor muzik asal terbaik, reka bentuk kostum terbaik dan reka bentuk produksi terbaik.

Lapan filem dicalonkan bagi kategori filem terbaik ialah Green Book, Bohemian Rhapsody, Black Panther, The Favourite, BlacKkKlansman, Vice, A Star Is Born dan Roma.
Setiap filem tersebut membawa pulang sekurang-kurang satu anugerah.
Namun, khabar mendukacitakan buat filem The Wife apabila aktres Glenn Close yang diramal membawa pulang anugerah pelakon wanita terbaik gagal menepati jangkaan.
Sebaliknya kategori itu dimenangi Olivia Colman menerusi The Favourite.
Kemenangan itu menjadikan The Wife gagal meraih sebarang anugerah walaupun dijangka membawa pulang trofi berkenaan daripada tujuh kategori yang dicalonkan.
Anugerah Academy ke-91 atau lebih dikenali sebagai Oscar itu diadakan di Dolby Theatre, Hollywood, Los Angeles, California.

