Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Kecewa kerana gagal mendapat ruang untuk mengadakan persembahan di Istana Budaya (IB), penyanyi Man Bai hari ini meluahkan apa yang terbuku dihatinya secara terbuka.

Katanya, di bawah Malaysia Baru sikap mengutamakan kroni diharap tidak lagi diamalkan pihak pengurusan IB.

“Saya harap cara pengurusan IB berubah, tiada lagi mana-mana pihak mengutamakan kroni,” katanya.

Menurut Man Bai dia kecewa apabila hasratnya untuk mengadakan persembahan bersama seorang lagi penyanyi terkenal, Rahim Maarof, pada tahun lalu ditolak IB.

Kata pemilik nama sebenar Abdul Rahman Osman itu, sikap memilih bulu tidak sewajarnya berlaku ketika negara mengalami perubahan kerajaan.

“Saya dan Rahim bukan artis baru, dan kami bukan tak ada duit nak bayar sewa,” katanya.

Man Bai, 50, ditemui pada sidang media untuk mengumumkan Konsert 2V Man Bai dan Rahim Maarof di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic), Kuala Lumpur hari ini.

Persembahan berkenaan bakal berlangsung di MaTic pada 6 April ini.

Tak marah artis 'bertuah'

Mengulas lanjut, Man Bai berkata dia menghantar kertas kerja untuk mengadakan persembahan di IB pada Oktober tahun lalu dan tarikh cadangan untuk konsert tersebut ialah pada 23 dan 24 Dis.

“Bagaimanapun, saya kemudian dimaklumkan pada saat akhir slot berkenaan telah diberikan kepada Konsert Duo Legenda: Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M Nasir,” katanya.

Namun, penyanyi Kau Ilhamku itu berkata, dia tidak menaruh dendam kepada mana-mana artis yang lebih bernasib baik kerana diberi ruang mengadakan persembahan di IB.

Sebaliknya, Man Bai yang turut berlakon dalam filem Layar Lara itu berkata, dia mendedahkan perkara tersebut supaya IB menukar cara kerja ke arah lebih profesional dan sistematik.

“Saya terpaksa menerima keputusan itu. Tetapi saya harapkan ketua pengarah dan pengurusan IB buka minda mereka, kena tengok orang di bawah.

“Saya tak marah pada Jamal atau M Nasir atau produksi mereka. Cuma saya marah pada sistem (di IB),” katanya.

Man Bai pada masa sama menegaskan dia tidak sesekali akan menjejakkan kaki ke IB selagi Ketua Pengarah Mohamed Juhari Shaarani masih meneruskan perkhidmatannya atau sistem pengurusan tidak diubah.

Malaysiakini sudah menghubungi IB dan dimaklumkan Mohamed Juhari kini berada di luar negara dan tidak dapat dihubungi.

Lihat Komen
ADS