Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Adun BN akur cadangan benarkan panggung wayang ditolak

DUN KELANTAN | Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) akur dengan keputusan kerajaan Kelantan untuk tidak membenarkan panggung wayang beroperasi di negeri itu.

Syahbuddin berkata beliau menghormati dasar kerajaan negeri selama ini iaitu 'Membangun bersama Islam'.

"Saya berharap perkara ini (cadangannya) dapat diambil secara positif kerana saya hanya menyuarakan pandangan selepas mengambil kira kewujudan panggung wayang patuh syariah yang pernah diluluskan sebelum ini.

"Sebagai rakyat Kelantan yang bertanggungjawab, saya menyambut baik keputusan dibuat kerajaan negeri ini," katanya ketika ditemui media selepas persidangan hari terakhir penggal kedua kali ke-14 di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Semalam, beliau mencadangkan kerajaan negeri boleh membuka panggung wayang berkonsepkan patuh syariah yang dikawal sepenuhnya.

Ketika ini, katanya, rakyat Kelantan yang mahu menonton filem perlu ke Terengganu, negeri paling dekat yang mempunyai panggung wayang.

Bagaimanapun Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin ketika penggulungan hari ini berkata majlis mesyuarat kerajaan negeri telah membincangkan isu berkenaan dan memutuskan untuk menolak cadangan itu.

Menurut Izani yang juga adun Kijang, Menteri Besar Ahmad Yakob berkata Kelantan menjadikan usaha pengurangan gejala sosial sebagai fokus tahun ini dan kewujudan panggung wayang akan menyebabkan lebih ramai golongan muda keluar malam.

Sementara itu Syahbuddin berkata, dengan keputusan kerajaan negeri itu rakyat Kelantan akan terus membanjiri Terengganu untuk menonton wayang.

"Sebab itulah saya menggunakan alasan negeri Terengganu kerana sepanjang pemerhatian saya ramai yang berkunjung ke pagawam di Terengganu ialah anak-anak Kelantan.

"Jadi kita cadang membawa panggung wayang ke negeri Kelantan sendiri," katanya lagi.

Kali terakhir negeri Serambi Mekah itu memiliki panggung wayang adalah kira-kira 30 tahun lalu.

Lihat Komen
ADS