Pelawak Fakkah Fuzz yang mencetuskan kontroversi pada 2016 kerana mengaitkan perdana menteri Malaysia ketika itu, Najib Razak dengan perkataan 'pencuri', kembali menjejakkan kaki di negara ini.
Pelawak Singapura itu tidak mahu menjadikan persembahan kontroversinya sebelum ini sebagai alasan untuk dia tidak mengunjungi penduduk di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, di Johor yang terjejas akibat pencemaran sisa bahan kimia.
"Alhamdullilah, selamat sampai di Dewan Taman Pasir Putih untuk menyampaikan sumbangan topeng muka. Kepada keluarga Pasir Gudang, terus kuat.
"Lebih banyak bantuan akan datang dengan segera," kata Fakkah dalam satu perkongsian di Twitter 13 Mac lalu.
Bagaimanapun, selang beberapa jam, dalam ciapan lain, Fakkah menyatakan rasa kesalnya kerana sumbangan yang dibawa tidak mencukupi dan berlaku kesilapan pembelian jenis topeng muka yang diperlukan.
"Maaf UiTM, saya cuma mampu pergi ke satu tempat sahaja malam ini dan kanak-kanak di Dewan Pasir Putih lebih memerlukan.
"Saya juga dimaklum (topeng muka) R95 lebih diperlukan dan bukannya N95, malangnya saya hanya dimaklumkan mengenai perkara itu selepas pembelian N95 dibuat.
"Jadi, saya akan serahkan apa yang ada dulu dan selebihnya kami cuba usahakan untuk hantar lebih banyak seperti apa yang dikatakan sebelum ini," katanya.
Sebelum meninggalkan penempatan tersebut, Fakkah turut berjanji akan segera kembali dengan bantuan lain.
Dan seperti yang dijanjikan Fakkah benar-benar kembali selang tiga hari dari kunjungannya yang pertama.
"UiTM Pasir Gudang, beberapa sukarelawan dari Singapura akan kembali menghulur sumbangan topeng muka. Saya juga akan datang, insya-Allah," ciapnya.
Fakkah juga turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu beliau, khususnya dari kalangan rakan-rakannya.
Pemberian sumbangan itu dilaporkan dilalukan sekitar jam 1.00 pagi 14 Mac lalu dan diikuti kunjungan kedua dengan lebih banyak bantuan tiga hari selepas itu.
Fakkah turut dimaklumkan terpaksa bergegas ke Pasir Gudang semata-mata mahu menyampaikan sumbangannya yang disifatkan tak seberapa itu meskipun terikat dengan jadual kerja yang padat termasuk persembahan dengan penganjur Jason Leong.
Insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim dikesan pada 7 Mac selepas ramai pelajar, guru dan petugas sekolah mengalami sesak nafas, muntah, loya dan sakit tekak.
Pada 13 Mac, Kementerian Pendidikan mengarahkan 111 sekolah di kawasan Pasir Gudang ditutup berikutan beberapa gelombang “Simptom Kim Kim” yang berlaku di beberapa sekolah sebagai langkah berjaga-jaga.
Dalam persembahan 2016, Fakkah mengundang kontroversi melalui satu paparan klip video persembahan yang memaparkannya berkata bahawa di Singapura, perkataan “thief” dalam Bahasa Melayu adalah “pencuri”, tetapi di Malaysia ia juga disebut “perdana menteri”.
Fakkah kemudian memohon maaf dan berkata beliau tidak berniat menghina sesiapa.
Beberapa pihak mempertahankan Fakkah termasuk pelakon dan pelawak Malaysia, Afdlin Shauki ketika itu.
Bagaimanapun, persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menggesa agar pelawak itu dilarang memasuki negara.

