Linda Rafar memberi tempoh sehingga Ramadan ini untuk pengguna media sosial yang menulis komen keterlaluan ke atas diri dan keluarganya berhubung peristiwa di sebuah hospital di Shah Alam membuat permohonan maaf.

Penyanyi dan pelakon itu mendakwa, hingga saat ini, kira-kira separuh daripada individu terbabit belum memenuhi tuntutan permohonan maaf walaupun keengganan itu boleh mengakibatkan mereka berdepan tindakan undang-undang.

“Saya masih beri peluang kepada mereka yang belum tampil memohon maaf untuk berbuat demikian sehingga Ramadan ini,” katanya.

Sekitar Januari lalu, Linda menuntut lebih 100 individu segera membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi platform media sosial atau bakal berdepan saman.

Terdahulu, bekas anggota Elite itu meluahkan rasa kecewa terhadap layanan sekumpulan jururawat di hospital terbabit yang menempatkan ibunya, Rasimah Abd Rahman.

Rasimah, 73, dimasukkan ke unit rawatan rapi hospital terbabit akibat gigitan serangga dan pernah menjalani pembedahan kerana jangkitan.

Pada 12 Disember lalu, tangan kiri Rasimah terpaksa dipotong akibat kompilikasi kerana ia sudah merebak ke dalam darah.

Ibu Linda meninggal dunia pada 11 Jan lalu kira-kira jam 10.50 malam,

Menurut Linda, dia cuba membantu dengan memberi sedikit masa lagi kepada pihak terbabit walaupun peguamnya mencadangkan untuk meneruskan tindakan saman.

Justeru, katanya, dia akan menerima dengan hati terbuka mengenai permohonan maaf itu selain tidak menetapkan kaedah tertentu yang boleh diguna pakai.

“Kepada yang mengutuk, fitnah dan berkata buruk mengenai saya dan keluarga tetapi malu untuk memohon maaf secara terbuka, hantar menerusi mesej pun boleh.

“Saya terima dan tidak akan teruskan dengan tindakan undang-undang,” katanya dipetik Harian Metro.

Menurutnya, tindakan itu dibuat bertujuan memberi pengajaran kepada netizen supaya mereka lebih berhati-hati dengan komen dilontarkan di media sosial.

“Baguslah. Tindakan saya dan selebriti lain secara tidak langsung dapat mendidik pengguna laman sosial supaya tidak keterlaluan dan sesuka hati menulis komen yang bukan-bukan.

“Sebelum ini, mungkin ramai yang tidak tahu kita boleh saman netizen atau rasa sia-sia kerana yang tinggalkan komen keterlaluan itu adalah akaun palsu.

“Tetapi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia boleh mencari maklumat mengenai pemilik akaun itu termasuklah alamat rumah mereka,” katanya.