Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Haqiem Rusli rasa lebih dihargai sebagai seniman

Meski mengaku wujud kebimbangan dalam dirinya untuk menjayakan pertunjukan sulung di ibu negara, penyanyi muda, Haqiem Rusli berkata, dia lega impiannya tetap terlaksana.

Menurut Haqiem, dia memendam hasrat untuk mengadakan suatu persembahan seperti A Nite With Haqiem Rusli sejak usianya masih kecil.

“Saya sangat gembira kerana sudah berjaya berada pada tahap ini. Memang saya impikan dari kecil untuk peminat datang dan meraikan persembahan saya.

“Saya mahu peminat beri fokus pada saya sebagai satu-satunya penghibur dalam persembahan ketika itu, dan ia akhirnya jadi kenyataan,” katanya.

Haqiem ditemui selepas melangsungkan showcase di Pusat Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pertunjukan selama dua jam

Pada showcase itu, peminat dihiburkan dengan lagu popularnya antaranya Jatuh Bangun, Tergantung Sepi dan Selamat Tinggal Sayang.

Haqiem turut menyampaikan lagu baru, What Can I Do For You, hasil ciptaannya bersama Shazee di hadapan khalayak buat kali pertama.

Bagaimanapun, pemilik nama penuh Ridzuan Haqiem Rusli itu mendedahkan dia perlu berdepan beberapa cabaran sebelum merealisasikan showcase yang berdurasi dua jam berkenaan.

Kata Haqiem, 20, dia mempunyai waktu latihan yang begitu terhad disebabkan terikat dengan beberapa komitmen lain sebelum acara itu berlangsung.

“Sejujurnya saya hanya ada masa berlatih sehari dua saja disebabkan komitmen lain sebelum itu,” katanya.

Menurutnya, ia juga menyebabkan timbul rasa kurang yakin untuk dia menyampaikan lagu terbaru What Can I Do For You secara langsung.

“Lagu itu masih baru dan saya mengaku tidak yakin untuk menyampaikannnya. Namun, saya tidak miming, sebaliknya menyanyi secara ‘on top’ menggunakan minus one,” katanya.

Melihat kepada sambutan peminat yang dianggarkan kira-kira 400 orang pada malam itu, Haqiem berkata, ia menambah rasa terharu melihat sokongan yang diberikan.

“Malam ini mengajar saya untuk lebih menghargai peminat. Kehadiran mereka membuatkan saya rasa lebih dihargai sebagai seniman,” katanya.

Lihat Komen
ADS