Paling Popular
Terkini

Filem yang memaparkan sisi gelap segelintir anggota polis, One Two Jaga mengungguli Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) apabila dinobatkan sebagai filem terbaik sebentar tadi.

Filem terbitan Pixel Play Entertainment itu turut menggondol lima kategori lain iaitu poster terbaik, cerita asal terbaik, lakon layar terbaik dan pengarah terbaik.

Bagi kategori pelakon wanita terbaik, anugerah itu dimenangi Umie Aida menerusi filem Dukun.

Filem Dukun ditayangkan di layar perak selepas terperam selama 12 tahun ekoran beberapa kekangan.

Anugerah Penggiat Belakang Tabir pula menjadi milik penulis lirik tersohor, Habsah Hassan, manakala aktor A R Badul dianugerahkan Karyawan Sepanjang Zaman.

Selain itu, filem berbahasa Mandarin, Guang, turut memberi saingan hebat apabila berjaya membawa pulang empat anugerah menerusi kategori pengarah harapan yang dimenangi Quek Shio Chuan, penataan seni terbaik, pelakon lelaki harapan dan sinematografi terbaik.

Karya itu berkisahkan kegagahan dan kepayahan pesakit autisme yang bergelut untuk mencari kerja.

FFM30 menyaksikan sebanyak 42 filem dipertandingkan bagi merebut 27 kategori.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebelum ini menerima penyertaan 25 buah filem berbahasa Melayu, dua Kantonis, lapan Mandarin dan tujuh Tamil.

FFM30 dianjurkan Finas dan mendapat kerjasama Persatuan-Persatuan Perfileman Malaysia serta disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM)

Majlis berprestij itu berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

FFM30 dihadiri oleh Menteri KKMM, Gobind Singh Deo serta Pengerusi Finas, Samsuni Mohd Nor.

Majlis juga dimeriahkan dengan persembahan ramai artis terkemuka, termasuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor dan Alyah.

Berikut merupakan senarai penuh pemenang bagi 27 kategori dipertandingkan di FFM30.

Filem terbaik: One Two Jaga

Pengarah terbaik: Nam Ron (One Two Jaga)

Cerita asal terbaik: Pitt Haniff, Muhammad Syafiq, Nam Ron (One Two Jaga)

Lakon layar terbaik: Amri Rohaiyat, Fared Ayam, Nam Ron (One Two Jaga)

Penyunting Terbaik: Raja Affandi Raja Jamaludin (Dukun)

Sinematografi terbaik: Yan Tak Wei (Guang)

Pelakon Lelaki Terbaik: Hasnol Rahmat (Polis Evo 2)

Pelakon Wanita Terbaik: Umie Aida (Dukun)

Pelakon Kanak-kanak Terbaik: Eng Wei Jie (Rise of the Legend: Lee Chong Wei)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Nabila Huda (Makrifat Cinta)

Pelakon pembantu lelaki terbaik: Hasnul Rahmat (Polis Evo 2)

Pengarah Harapan: Quek Shio Chuan (Guang)

Pelakon Wanita Harapan: Jaya Ganason (The Farm: En Veethu Thottahil)

Pelakon Lelaki Harapan: Kyo Chen (Guang)

Skor Muzik Asal Terbaik: Nick Davis (Two sister)

Lagu Tema Terbaik: Monoloque Atma Jiwa (Busker)

Penataan Bunyi Terbaik: Chan Hsien Yu (Guang)

Kostum/busana terbaik: Andie Sulaiman (Dukun)

Kesan Khas Terbaik: Pixelpost (Dukun)

Poster terbaik: Jazz Pictures (One Two Jaga)

Anugerah khas juri 1: Asia Tropical Sdn. Bhd. (Paskal The Movie)

Anugerah khas juri 2: Vedu Production (Vedigundu Passangge)

Anugerah khas juri 3: Astro Shaw Sdn Bhd (Busker)

3 anugerah khas juri (yang tidak dipertandingkan) adalah:

Anugerah penggiat belakang tadbir: Habsah Hassan

Anugerah karyawan sepanjang zaman: A.R Badul

Anugerah filem box office: Munafik

Lihat Komen
ADS