RTM anjur Konsert Evolusi 73 hargai penonton setia
Bersempena sambutan ulang tahun ke-73 Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1 April, Unit Hiburan TV RTM menganjurkan Konsert Evolusi 73 di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana di Kuala Lumpur, malam ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo hadir menyaksikan konsert itu yang disiarkan secara langsung di saluran TV2.
Turut hadir Ketua Pengarah Penyiaran, Abdul Muis Shefii.
Penerbit Konsert Evolusi 73, Sarena Salleh berkata selaku stesen penyiaran negara yang telah merentasi pelbagai era, konsert berkenaan berkonsepkan evolusi bersempena peralihan stesen penyiaran negara itu ke arah pendigitalan sepenuhnya.
“Ia percuma dan terbuka kepada orang ramai sebagai penghargaan sokongan penonton dan pendengar setia RTM sepanjang lebih tujuh dekad bersiaran,” katanya.
Diacarakan oleh gandingan pengacara Nana Mahazan dan Ivan Toh, konserti itu dimeriahkan dengan persembahan hebat barisan artis popular tanah air seperti Datuk David Arumugam, Datuk M.Nasir, Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini.
- Bernama

