Lagi artis desak boikot hotel milik Brunei
Selepas pelakon Amerika Syarikat, George Clooney menggesa tindakan boikot terhadap sembilan hotel milik Brunei kerana membantah negara itu melaksanakan hukuman sebat atau direjam hingga mati kepada golongan gay dan pesalah zina, bintang pop legenda Britain, Elton John juga membuat gesaan yang sama.
Gesaan itu dibuat ketika sebilangan ahli politik dan selebriti mengutuk penguatkuasaan undang-undang baru yang berkuatkuasa bulan ini, dan menyokong tindakan pemulauan terbabit.
“Saya memuji rakan saya, #GeorgeClooney kerana mengambil pendirian tegas mengenai diskriminasi anti gay dan ketaksuban yang berlaku di #Brunei, iaitu sebuah tempat yang bertindak kejam ke atas golongan gay atau lebih teruk lagi, dengan memboikot hotel milik Sultan (Brunei),” kata penyanyi itu di akaun Twitternya.
Penyanyi berusia 72 tahun, yang juga pejuang hak asasi golong gay itu berkata, dia sedih dengan nasib kakitangan kesemua hotel terbabit.
Namun, katanya, tindakan boikot perlu diambil sebagai peringatan bahawa layanan seperti itu tidak boleh diterima sama sekali.
Syarikat Pelaburan Brunei memiliki sembilan hotel di Amerika Syarikat dan Eropah, termasuk hotel Beverly Hills, Dorchester di London dan Plaza Athenee di Paris.
Reuters melaporkan sebelum ini, Sultan Brunei yang juga perdana menteri mengumumkan undang-undang syariah itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa.
Dalam fasa pertama yang dilaksanakan pada Mei 2014, umat Islam yang melakukan kesalahan hamil luar nikah, tidak solat Jumaat dan mempromosikan kepercayaan lain selain Islam, boleh dikenakan denda atau penjara.
Namun, menurut pertubuhan hak asasi manusia, pelaksanaan fasa kedua dan ketiga undang-undang Syariah itu membolehkan pesalah disebat atau direjam dengan batu sampai mati terhadap umat Islam yang melakukan kesalahan zina, liwat dan rogol serta kesalahan lain, seperti minum arak dan mencuri.
Brunei menangguhkan pelaksanaan dua fasa terakhir berikutan bantahan masyarakat antarabangsa pada 2014.



