Bagai menepati ramalan segelintir pihak, Seminar Keibubapaan dan Pendidikan Awal anjuran penyanyi nasyid kontroversi Suhaimi Saad yang sepatutnya berlangsung semalam dibatalkan atas sebab-sebab tertentu.
Suhaimi - yang biasa merujuk dirinya sebagai SS - melalui hantaran di Facebook menjelaskan, dia tidak dapat meneruskan hasratnya mengadakan seminar berkenaan disebabkan berdepan kekangan kesihatan.
“Atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan, SS telah membatalkan seminar tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, Suhaimi tidak menjelaskan lebih lanjut apakah sakit yang sedang dideritainya itu.
Bekas anggota kumpulan Inteam itu terkenal kerana kelantangannya berhujah menolak bentuk Bumi sebagai sfera, sebaliknya berkeras menyatakan ia rata.
Suhaimi juga gigih dengan kepercayaan bahawa kanak-kanak tidak wajar diberikan suntikan vaksin.
Dia sendiri enggan membenarkan anak-anaknya diberikan suntikan tersebut.
Boleh adu polis jika mahu
Menerusi tinjauan Malaysiakini pada akaun Facebook Suhaimi semalam, tiada sebarang kemas kini daripadanya mahupun peserta yang menyertai program tersebut.
Bercakap kepada Malaysiakini sebelum ini, Suhaimi terpaksa merahsiakan lokasi seminar - yang akan menampilkan dirinya sebagai satu-satunya penceramah - bagi memastikan kelancaran program.
Dia juga berkata, tujuannya tidak menghebahkan lokasi itu kepada umum bukan kerana bimbang dengan keselamatan nyawanya Untuk rekod, Suhaimi pernah mendakwa dirinya diancam bunuh di media sosial.
Disebabkan tiada sebarang pemberitahuan mahupun kemas kini berhubung seminar berkenaan, Suhaimi juga didakwa segelintir warganet sengaja menganjurkan seminar untuk ‘mencekau’ wang pendaftaran peserta.

Menjelaskan pertikaian terbabit, Suhaimi berkata, dia telah memulangkan apa yang sepatutnya.
“Semua yuran peserta telah pun kami pulangkan,” katanya.
Bagaimanapun, sekiranya ada peserta berasa ditipu, Suhaimi mengalu-alukan mereka untuk membuat laporan polis.
“Sekiranya ada peserta yang mendakwa ditipu dan yurannya belum dikembalikan, sila tunjukkan bukti dan buatlah laporan polis.
“Segala fitnah dan berita buruk yang tersebar di media sosial berkaitan isu ini, SS serahkan kepada Allah untuk membalas kepada para pelakunya,” katanya.
Terdahulu, tindakan Suhaimi memuat naik poster Seminar Keibubapaan dan Pendidikan Awal di akaun Facebook rasminya mengundang perhatian ramai.
Antara maklumat lain tertera pada poster ialah, isteri Suhaimi - Ina Naim - akan membuat penampilan istimewa bersama empat anak mereka.
Suhaimi berkata, tujuan dia melakukan seminar bagi membuka minda selain memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kaedah pembelajaran di rumah (homeschooling).
