Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Mungkin ramai tidak mengetahui, penyanyi Amylea Azizan pernah mengalami tekanan amat hebat demi menyiapkan runut bunyi bagi drama bersiri Nur 2 yang bakal bersiaran malam ini.

Kata Amylea, perasaan itu dialami sejak beberapa bulan lalu apabila drama susulan kepada Nur - yang pernah mencetus fenomena tersendiri di TV - diumum bakal memulakan tayangannya tahun ini.

“Bila Radius One (penerbit drama) kata nak keluar Nur 2 enam bulan lalu, saya nak tulis lagu tu pun dah rasa tekanan yang tinggi.

"Apabila dah siap pun, saya dengar beratus-ratus kali.

“Saya percaya kalau lagu ni tak menjadi lebih baik daripada lagu sebelumnya iaitu Tak Pernah Hilang, sekurang-kurangnya ia boleh menjadi yang sama baik,” katanya.

Amylea ditemui pada sidang media bagi pelancaran lagu dan video muzik Tetap Kamu di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir, rakan duetnya untuk lagu berkenaan, Megat Adzuan, yang juga peserta Mentor 7. Tetap Kamu dicipta Farouk Roman manakala lirik ditulis oleh Amylea sendiri.

Cari penyanyi lain

Menambah tekanan, kata Amylea, kira-kira dua bulan lalu penyanyi yang dirancang awal untuk berduet dengannya bagi lagu berkenaan, Kaer Azami, terpaksa menarik diri.

Keputusan Kaer itu tidak memudahkan Amylea untuk mencari pengganti. Malah peserta Akademi Fantasia 3 itu hampir berputus asa dalam usahanya bagi mencari pasangan yang terbaik.

Amylea juga hampir menolak untuk menyanyikan Tetap Kamu sekiranya dia atau komposer gagal mencari pengganti yang dirasakan mampu memikul tanggungjawab seperti Kaer.

“Kaer beritahu tak dapat teruskan duet. Ya, kami memang ada keserasian dan suara mempunyai nada yang sama.

“Saya cakap kepada komposer, kalau tak dapat yang unik macam Kaer, saya tak nak nyanyikan lagu ni.

"Carilah penyanyi lain sebab saya nak terbaik untuk diri saya dan tak nak tangkap muat.

“Tapi akhirnya dapat Megat yang memiliki suara berbeza. Ia perbezaan yang positif macam hitam dan putih.

"Apabila suara kami bergabung, ia menjadi elemen yang menarik,” katanya.

Amylea dan Kaer sebelum ini pernah disenarai menjadi finalis Anugerah Juara Lagu 33 melalui Tak Pernah Hilang yang popular kerana menjadi runut bunyi bagi drama Nur.

Pada masa sama, Amylea menafikan Tetap Kamu mempunyai persamaan melodi, atau meniru lagu Ratusan Purnama nyanyian Melly Goeslaw.

Menurutnya, walaupun Farouk memang memang mengagumi Melly sejak kecil, Tetap Kamu masih mempunyai nilai dan kualiti tersendiri.

Tetap Kamu sebenarnya merupakan kesinambungan Tak Pernah Hilang, kedua-duanya dicipta Farouk. Dia selalu mengambil inspirasi daripada Melly, namun tiada unsur meniru,” katanya.

Lihat Komen
ADS