Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hans Isaac pengerusi baru Finas
Diterbitkan:  Apr 10, 2019 2:44 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini mengumumkan pelakon Hans Isaac sebagai pengerusi baru Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Menterinya Gobind Singh Deo berkata, Hans Isaac dilantik bagi menggantikan pemangku jawatan itu Samsuni Mohd Nor bagi tempoh dua tahun, berkuatkuasa 8 April lalu.

“Pelantikan Gerald Hans Isaac berdasarkan peruntukan dalam Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.

“Beliau menggantikan Samsuni Mohd Nor yang telah menjalankan tugas sebagai pemangku pengerusi Finas selama lebih empat bulan yang lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Gobind, Hans Isaac mempunyai pengalaman luas dalam bidang perfileman dan terkenal sebagai pelakon, penerbit dan pengarah filem.

“Beliau telah menerima pelbagai anugerah dalam industri perfileman tempatan.

“Beliau pernah menjadi ahli lembaga penasihat Finas dan ahli lembaga Persatuan Penerbit Filem Malaysia pada tahun 2012,” katanya.

Hans merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Institute of Commerce, Singapura dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hotel dari Kolej Stanford, Malaysia.

Gobind pada masa sama turut menyatakan penghargaan kepada Samsuni atas perkhidmatannya sepanjang memangku jawatan tersebut.

Beliau juga menyuarakan harapannya agar Hans dapat meningkatkan lagi usaha Finas untuk membangunkan seni tanah air.

“Saya juga berharap agar ahli-ahli lembaga Finas akan memberikan kerjasama yang penuh kepadanya dalam melaksanakan pembaharuan berdasarkan hala tuju kerajaan,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS