Paling Popular
Terkini

Kejayaan digapai dalam pertandingan besar seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) bukan lesen mudah untuk seseorang penyanyi layak mengadakan konsert berskala besar.

Bagi Hael Hussaini, meskipun pernah dua kali menjulang kemenangan dalam AJL sebelum ini, dia tetap enggan terburu-buru menganjurkan sesuatu persembahan hanya kerana pengiktirafan yang pernah diterimanya itu.

“Menang AJL tak membuktikan seseorang penyanyi itu mampu mengawal sebuah konsert besar,” katanya.

Hael, 31, ditemui pada sidang media program Lagu Cinta Kita di Kuala Lumpur kelmarin.

Lagu Jampi dipersembahkan pemilik nama sebenar Hael Husaini Razmi itu sebelum ini dinobat Juara AJL ke-32. Setahun kemudian dia kembali mengungguli AJL ke-33 dengan lagu Haram.

Lagu berkenaan dipersembahkan secara duet bersama Dayang Nur Faizah.

Kata Hael, untuk tampil dengan sebuah konsert berskala besar, dia terlebih dahulu perlu memikirkan sama ada mampu memberikan kepuasan kepada peminat.

“Kalau nak buat, biar benda tu diingati. Saya nak hadiahkan kepada peminat.

“Saya tak nak orang datang konsert dan balik macam tu saja. Nak mereka betul-betul terhibur,” katanya.

Tetapi sebelum melaksanakan agenda sebegitu, penyanyi yang juga popular melalui lagu Hajat itu berkata, dia perlu benar-benar bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan sesuatu yang berskala besar.

“Saya hanya akan buat bila benar-benar dah bersedia suatu hari nanti,” katanya.

Ditanya lokasi impian yang mungkin bersesuaian bagi menjayakan impian itu, Hael berkata, seboleh-bolehnya dia menyasarkan tempat yang besar.

“Kalau nak buat tak nak ala kadar, misalnya macam Stadium Bukit Jalil,” katanya.

Sementara itu, Hael bersama seorang pelakon dan pengacara Scha Al Yahya diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap bagi program Lagu Cinta Kita.

Seramai 16 peserta terpilih digabungkan menjadi lapan pasangan duet menerusi program yang diinspirasikan daripada program popular Vietnam, Love At First Song.

Ia bakal disiarkan buat pertama kali secara digital selama satu jam menerusi laman YouTube TV3 pada 19 April ini dan berterusan setiap Jumaat dan Sabtu pada jam 9 malam.

Lihat Komen
ADS