Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bank Negara pamer 12 instalasi sehingga Sept
Diterbitkan:  Apr 17, 2019 7:06 PM
Dikemaskini: 11:06 AM

Dua belas karya instalasi "Pusaka: Warisan Kemudi Wawasan'’ oleh 12 seniman terkenal dipamer di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia mulai esok sehingga 18 September ini.

Timbalan Gabenor Bank Negara Abdul Rasheed Ghaffour berkata pameran pembuka tirai 2019 itu adalah antara inisiatif institusi terbabit dalam memelihara dan mempromosi khazanah seni negara melalui lensa perkembangan sosio-ekonomi dalam pelbagai bidanga termasuk pendidikan, ekonomi, sukan, sastera dan alam semula jadi.

"Sejak enam dekad lalu, sokongan Bank Negara terhadap industri seni rupa tanah air terus utuh.

"Sokongan ini bermula dengan pengumpulan karya-karya seni seawal 1960-an lagi," katanya dalam ucapan semasa pelancaran pameran itu.

Menurut Abdul Rasheed pameran itu juga bertujuan mendidik semua lapisan masyarakat mengenai pentingnya meningkatkan industri seni dalam negara.

Seniman yang menyertai pameran itu termasuk Zulkifli Yusoff dengan karya berjudul Immunity, Bibi Chew (Itu Homemade Malaysia), Haris Abadi (Mountains of Light), Jamil Zakaria (Biru Puteh Kambing Hitam), Haslin Ismail (Gobok), Chong Kim Chiew (Badminton Court), Sharmiza Abu Hassan (The Covenant Series), Lisa Foo (Wau), Umibaizurah Mahir (A Message from the Objects), Ahmad Fuad Osman (This Is Certainly Not Like We Thought It Was), Azizan Paiman (Menjejak Kembali Kisah-kisah Ekonomi Negara) dan Hayati Mokhtar serta Dain Said (Near Intervisible Lines).

Selain bengkel, forum dan aktiviti bicara bersama kurator, pelbagai cenderahati yang diinspirasikan oleh pameran itu akan dijual di muzium berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS