Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Elyana nekad nak ingkar cakap doktor demi kanser

Sekalipun tidak mendapat izin daripada doktor, penyanyi Elyana - yang sedang gigih melawan kanser limfoma tahap empat - nekad meneruskan hasratnya untuk merealisasikan sebuah konsert yang pertama buat dirinya.

Elyana berkata, untuk memenuhi impian yang sudah lama terpendam itu, dia sanggup mendahulukan kehendak sendiri berbanding nasihat doktor.

Malah tanpa berselindung, Elyana berkata, keputusannya itu saling berkait rapat dengan sifatnya yang cukup degil.

“Saya memang terkenal sebagai seorang yang keras kepala, sangat degil. Jika ada orang berkata tak boleh, saya tetap nak buat juga.

“Doktor boleh menasihati, tapi ini hidup saya. Biar saya jalani mengikut kemahuan saya,” kata pemilik nama penuh Erneelyana Elyana Emrizal itu.

Pun begitu, penyanyi lagu Tak Tercapai Akalmu itu berkata, sebenarnya sehingga hari ini dia masih belum memaklumkan perancangannya kepada doktor yang sedang merawatnya.

Elyana ditemui pada majlis pengumuman Konsert Elyana Jadi Diriku 19 Live in Concert di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur hari ini.

Konsert Elyana Jadi Diriku 19 yang dijadual berlangsung 6 Julai depan di Auditorium Bentley Music, Damansara itu juga bertujuan mengumpul dana untuk diagihkan kepada pesakit kanser.

Jangan bermenung saja

Sumbangan akan disalurkan kepada pesakit melalui Majlis Kanser Nasional (Makna), selaku rakan penerima manfaat.

Konsert berkenaan diadakan sempena meraikan 19 tahun pembabitan Elyana dalam dunia seni suara.

Menyedari sudah terlalu lama menangguh keinginannya untuk mengadakan konsert sendiri, Elyana, 32, berkata kini sudah sampai masanya dia mendapatkan apa saja yang tersimpan di hati, sementelah dengan keadaan kesihatan dirinya.

“Sel kanser sudah menyerang tulang belakang. Saya baru selesai jalani rawatan radioterapi awal tahun ni.

“Alhamdulillah, saya dapat semula semangat dan sebab tu tak mahu bertangguh untuk jayakan konsert. Kalau dah asyik tunda, cita-cita tak akan kesampaian," katanya.

Menurut Elyana yang turut terbabit dalam seni lakon, dia ingin menjadi insan contoh yang boleh membuka mata pesakit kanser lain agar bangkit meneruskan kehidupan.

“Saya nak apa saya lakukan ni boleh menjadi contoh kepada pesakit kanser lain.

"Saya mahu mereka tidak duduk hanya mengenang nasib, sebaliknya tetap teruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.

Lihat Komen
ADS