Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tak cerewet pilih acara rahsia Rabbani terus kekal

Amalan tidak berkira harga bayaran atau memilih acara merupakan antara faktor kumpulan Rabbani dapat mengekalkan perniagaan diusahakan hingga ke hari ini.

Menurut salah seorang anggotanya, Azadan Abdul Aziz, Rabbani sanggup menerima undangan untuk memeriahkan sesuatu majlis waima diberi bayaran lebih rendah daripada biasa.

“Ya sebab itulah Rabbani terus kekal. Kami sanggup terima sekalipun harga ditawarkan suku atau separuh daripada biasa,” katanya.

Tambah Azadan, Rabbani - kumpulan yang beberapa kali pernah memenangi pengiktirafan Anugerah Industri Muzik itu - juga tidak memilih sesuatu acara untuk dihadiri.

“Kami akan hadiri undangan walaupun ia majlis cukur jambul,” katanya.

Azadan ditemui pada majlis pengumuman majlis berbuka puasa iftar @Garden Palace di DSaji Titiwangsa, di Titiwangsa, Kuala Lumpur kelmarin.

Berkongsi lanjut, Azadan berkata, pernah suatu ketika dulu Rabbani bersetuju dengan harga rendah ditawarkan bertujuan membantu meringankan beban kewangan pelanggan.

“Pernah ada sekali tu sekitar tahun 2007, seorang mak cik menawarkan harga RM1,500 untuk memeriahkan majlis anak perempuannya yang terakhir, kami tetap terima.

“Kebetulan pula kami tak ada jemputan lain ketika itu,” katanya.

Bagaimanapun, Azadan mengulas harga bayaran yang dikenakan mereka masih tertakluk mengikut syarat-syarat tertentu.

“Kena tengok jugalah kemampuan pelanggan.

"Janganlah mereka itu orang yang berada dan berkemampuan tapi minta harga rendah pula. Kalau kami rasa okey, kami terima,” katanya

Sementara itu, mengulas Majlis Iftar @ Garden Palace, Azadan berkata, selain Rabbani, sembilan lagi kumpulan nasyid bakal membuat persembahan bergilir-gilir mengikut hari sempena majlis berbuka puasa Ramadan nanti.

“Rabbani Event and Management akan menampilkan kumpulan seperti Raihan, Hijjaz Inteam, Saujana, Unic dan ramai lagi pada majlis tersebut.

“Pelanggan berpeluang menerima diskaun sebanyak 20 peratus jika membuat tempahan awal (early birds) pada April ni, manakala diskaun sebanyak 50 peratus untuk mereka yang datang pada hari pertama dan kedua.

“Selain itu, mereka juga berpeluang membawa pulang cabutan bertuah daripada penaja,” katanya.

Lihat Komen
ADS