Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Saya hanya mengamuk dengan syarikat rakaman'
Diterbitkan:  Apr 21, 2019 6:28 PM
Dikemaskini: 10:28 AM

Isteri allahyarham Saleem, Juriah@Julia Bachok mengakui berang dengan tindakan syarikat rakaman dinaungi anak tirinya, Syafiq Farhain yang mengaut keuntungan menggunakan lagu-lagu allahyarham suaminya.

Dakwa Juriah, ini selepas syarikat terbabit mengeluarkan sebuah album kompilasi arwah suaminya dan Syafiq tanpa meminta izinnya dahulu.

Bagaimanapun menurut Juriah, dia tidak pernah bergaduh dengan Syafiq atau anak-anak allahyarham suaminya yang lain.

“Saya bukannya menyerang Syafiq, tidak pernah sesekali menyalahkannya.

“Saya sebenarnya berang dengan tindakan syarikat rakaman itu, menerbitkan album kompilasi yang memuatkan tiga lagu baharu nyanyian arwah, tanpa sepatah pun meminta izin,” katanya seperti dipetik laporan BH.

Tambah Juriah, apa yang lebih menyebabkan dia terkilan adalah album tersebut diterbitkan seminggu selepas arwah meninggal dunia.

“Kami sekeluarga masih bersedih atas pemergian arwah. Wajarkah mereka berbuat begitu?,” katanya .

Allahyarham Saleem atau nama sebenar AM Saleem Abdul Majeed, 57, vokalis kumpulan Iklim meninggal dunia pada 14 Oktober lalu.

Ia selepas 22 hari penyanyi Suci dalam Debu itu dimasukkan ke hospital kerana kemalangan jalan raya di Bandar Mahkota Cheras.

Namun begitu, menurut Juriah, laporan polis juga sudah dibuat dan menggesa supaya syarikat rakaman tersebut dikenakan tindakan undang-undang

“Mereka kena hormati saya dan anak arwah. Tanah kubur pun masih merah.

“Bagaimanapun, isu itu dapat diselesaikan dengan baik atas nasihat peguam,”katanya.

Mengulas lebih lanjut, Julia berkata dia merasakan Syafiq mungkin salah faham dan termakan hasutan ketika isu berkenaan hangat diperkatakan.

“Saya tidak pernah bergaduh dengan Syafiq dan anak arwah yang lain. Saya hanya mengamuk dengan syarikat rakaman.

“Cuma, ada yang tersalah anggap terhadap saya apabila hubungan arwah dengan anaknya renggang, satu ketika dahulu. Saya tidak pernah mencampuri urusan arwah bersama mereka.

“Malah, saya melayan mereka dengan baik ketika masing-masing datang menziarahi arwah di hospital,” katanya.

Lihat Komen
ADS