Malaysiakini Seni & Hiburan

KBS nak puaskan BTS Army tahun depan

Anne Muhammad  |  Diterbitkan

Khabar gembira dititipkan salah seorang menteri buat penggemar K-pop di negara ini menjelang setahun PH menawan Putrajaya daripada BN.

Kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, jika tiada aral melintag tahun depan salah satu kumpulan 'terpanas' dari Korea Selatan, Bangtan Boys - atau BTS - akan datang membuat persembahan di sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Kata Syed Saddiq pihaknya sedang berusaha membawa kumpulan ikonik itu ke negara ini tahun depan.

Dan untuk membuka lebih banyak jalan buat BTS, beliau menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia, Tony Fernandes.

“Jadi dalam bab ini saya telah berjumpa dengan promoter yang berkaitan dengan BTS dan kita sudah di peringkat perbincangan.

“Usaha kami adalah untuk memastikan BTS datang pada tahun 2020 sempena Tahun Melawat Malaysia.

“Saya telah pun beri tanggungjawabkan kepada Tony Fernandes untuk buat perkara ini kerana beliau telah berjaya hari ini (sambutan Hari Terbuka Perbadanan Stadium Malaysia) dan ia satu kejayaan yang besar apabila 200 orang hadir,” katanya.

Tak mahu tertinggal

Syed Saddiq berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas sempena setahun PH di Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya hari ini.

Katanya lagi, kehadiran kumpulan muzik luar negara ke Malaysia bukan bertujuan untuk melalaikan generasi muda, sebaliknya perlu dilihat sebagai satu pelaburan yang menguntungkan.

Jelasnya, industri hiburan Malaysia mencatatkan keuntungan kira-kira AS$4 bilion selain menarik lebih 250,000 pengunjung ketika penganjuran MotoGP, baru-baru ini.

“Sebagai contoh baru-baru ini kita adakan konsert hiburan terbesar Ed Sheeran dengan 45,000 orang (hadir) dan dalam tempoh tiga hari tiket habis dijual dan ia dijalankan sangat baik.

“Apabila mereka (penganjur) melihat kemampuan kita mengadakan (konsert), banyak yang berminat,” katanya.

Menteri muda itu juga bertekad dan komited memastikan industri hiburan Malaysia tidak berada di belakang Singapura memandangkan ramai peminat muzik beralih ke negara itu bagi menyaksikan persembahan secara langsung kumpulan atau penyanyi terkemuka.

Selain itu pihaknya juga ingin menjadikan Perbadanan Stadium Malaysia menjadi hab industri hiburan yang bakal memberi pulangan kepada negara.

Terdahulu, Fernandes berkata beliau sedang berkerja keras bagi merealisasikan impian BTS Army, iaitu peminat tegar kumpulan yang dianggotai tujuh pemuda Korea Selatan berkenaan.

Beliau yang juga ketua pegawai eksekutif Kumpulan AirAsia itu juga berkata, pihaknya sedang berhubung dengan syarikat hiburan Live Nation dan setakat ini masih belum mempunyai kata putus untuk tarikh kedatangan kumpulan terkemuka itu.