Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN | Saya merasakan ini hanya satu polemik, bermula apabila Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq mencadangkan ingin membawa kumpulan Pop Korea Selatan BTS ke Malaysia, didebatkan oleh beberapa pihak khususnya kumpulan netizen.

Bagi saya, hujah kedua belah pihak, yang menyokong mahupun yang membantahnya, ada tarikan yang tersendiri.

Kerana itu saya merasakan polemik ini baik dan menarik. Baik dan menarik dalam konteks kepekaan masyarakat terhadap perkara ini.

Dari sudut pandang mereka yang membantahnya, saya rasakan hujah itu tidaklah begitu matang, namun masih ada asasnya.

Dalam konteks kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, pesona identiti, seni warisan dan kebudayaan Malaysia haruslah menjadi elemen utama berbanding kumpulan BTS atau Bangtan Boys ini.

Bukan sekadar pertunjukan hiburan

Seharusnya ciri-ciri identiti dan kebudayaan Malaysia perlu ditonjolkan oleh kita agar ia dapat memberi lebih makna kepada industri pelancongan negara. 

Ia bukan sekadar pertunjukan hiburan, tetapi ada sisi penghayatan dan pengalaman yang lebih eksklusif buat pelancong untuk dibawa pulang ke negara asal mereka.

Namun demikian, perlu juga kita bertanya tentang identiti, warisan dan kebudayaan kita ini, kerana jika acuan atau bentuk yang ada seperti yang kita ketahui, maka yang itu, itu juga setiap tahun.

Seperti tidak ada nafas baru untuk diketengahkan. Jika bidang muzik dan lagu, pastinya artis yang itu, itu juga. Bagi saya, bosan juga. 

Namun, warisan tetap suatu warisan yang perlu dipelihara dan dipertontonkan kepada khalayak kerana warisan, mempunyai kisah dan sejarahnya yang tersendiri untuk dirasai oleh semua generasi.

Saya sebagai pemerhati, tetap merasakan hujah ini releven dan ianya penting serta perlu dikekal atau diketengahkan khususnya dalam kempen TMM 2020.

Namun, hujah bagi mereka yang menyokong kehadiran BTS sebagai penyeri sempena TMM 2020, juga saya rasakan ianya rasional. 

Bukan kerana saya meminati BTS, tetapi ada hujah yang relevan.

Ekonomi, industri kreatif

BTS ini tidak seharusnya difahami atau dibandingkan dalam kerangka seni warisan kebudayaan, tetapi ia harus dilihat dalam konteks yang lebih luas. Maka itu saya rasakan cadangan ini bukanlah sesuatu yang ganjil atau tidak kena pada tempatnya.

Jika kita memahami semua ini dalam satu kerangka yang lebih luas dan besar, iaitu ekonomi atau industri kreatif atau industri kebudayaan, warisan dan kebudayaan dan seni pop kontemporari, semua ini duduk dalam satu bidang industri yang sama.

Yang membezakannya hanyalah motivasi dan medium persembahannya. Dalam kontek ekonomi kreatif, kedua-dua cabang ini memberi kesan kepada ekonomi.

Saya rasakan cadangan membawa BTS ini adil. Adil kerana zaman ini zaman K-Pop sedang ‘hype’ atau ‘trendy’.

Ianya sama sahaja ketika zaman rock sedang merancak. Ketika itu kumpulan Scorpion, Micheal Learns To Rock, Mr Big, Guns N Roses dan banyak lagi, juga datang membuat persembahan bagi peminatnya di Malaysia.

Ketika itu, penggemar muzik pop yeh yeh juga merungut sepertimana penggemar rock mengeluh pada kumpulan BTS ini.

Sekali lagi, kita tidak harus membandingkan antara seni warisan kebudayaan dengan kumpulan BTS secara literal. 

BTS ini adalah produk dari budaya popular sedangkan seni warisan kebudayaan ini adalah produk yang berakar dari sejarah dan ritual sesuatu bangsa. Artistik dan naratifnya berbeza.

Namun keduanya tetap memiliki peranan yang sama iaitu ia memberi inspirasi dan hiburan kepada penghayatnya, selain pulangan ringgit buat seniman dan karyawan.

Polemik ini adalah indikasi tahap kefahaman masyarakat kita terhadap budaya popular. Kita memilih untuk memahami budaya popular secara selektif. 

Memilih-milih dalam erti kata selera yang kita suka sahaja. Sedangkan citarasa generasi baru itu berbeza.

Kita perlu berlaku adil pada diri kita dan sekeliling kita. Pemikiran dan persepsi kita perlu segera matang.


MAHDZIR IBRAHIM ialah seorang pelukis yang berpolitik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS