Paling Popular
Terkini
story images
story images

Pelawak Lan Pet Pet mengakui sangat bimbang nyawanya dicabut sebelum sempat meminta maaf kepada pengawal keselamatan, Yahya Manap, yang dikasarinya pada 6 April lalu.

Lan mendedahkan, hatinya terdetik untuk memohon maaf kepada Yahya - atau lebih dikenali dengan nama Pak Ya - ketika ditahan reman semalaman di lokap.

Justeru, keinsafan inilah yang mendorong penghibur itu bertemu Pak Ya pada 23 April lalu di Nilai, Negeri Sembilan.


BACA BERKAITAN:

Dengan peluk cium, Lan Pet Pet janji bawa Pak Ya ke Makkah


“Masa berada dalam lokap besi saya fikir perlu minta maaf nak nak lagi bila tengok sahabat lain yang turut berada di tempat sama pada waktu tu.

“Mulalah terfikir kalau saya kembali ke rahmatullah tapi tak sempat minta maaf macam mana? Kita tak tahu hayat kita panjang mana,” katanya.

Luah kekesalan

Lan atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad ditemui pada sidang media yang diberi nama "Maafkan Kami" yang diadakan di sebuah restoran di Sungai Buloh sebentar tadi.

Kata Lan, 49, dia berasa perlu menzahirkan permohonan maaf tersebut selepas mendengar nasihat keluarganya malah ia juga dibuat bersempena menghormati bulan Ramadan yang bakal tiba kurang seminggu lagi.

Pada 15 April lalu, Lan diarahkan membayar RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban selepas mengaku salah memukul Pak Ya yang sedang bertugas sebagai di Acacia Park Desa Jati, Nilai, Negeri Sembilan.

Lan mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Mayon Yusof.

Dalam pada itu, pelakon filem I Know What You Did Last Raya itu sempat meluahkan kekesalannya atas perbuatan yang dilakukan.

Menurutnya, dia sebelum ini tidak pernah meninggi suara apatah lagi mengangkat tangan ke atas seseorang yang lebih berumur.

“Saya bukan seorang panas baran tapi nak dijadikan asbab ia berlaku pada malam tu.

“Saya seorang pelawak, memang susah nak marah orang lain,” katanya dengan nada bersungguh-sungguh.

Justeru, bagi menebus kesilapannya itu, Lan merancang untuk membawa Pak Ya dan isterinya pergi menunaikan ibadah umrah pada Disember depan.

“Saya bukan nak takbur, glamor atau cakap besar, itu semua letak tepi yang penting dapat bawa Pak Ya dan isteri tunaikan umrah bersama-sama.

“Dan saya harap netizen tidak lagi mengecam kami selepas ni,” katanya.

Pertemuan hampir dua jam yang dihadiri keluarga dan sahabat baik kedua-dua pihak itu menyaksikan permohonan maaf Lan disambut Pak Ya dengan hati terbuka.

Lihat Komen
ADS